Anak Lelaki Merayu Agar Jenazah Jamal Khashoggi Dibawa Pulang Ke Arab Saudi


WASHINGTON: Dua anak lelaki Jamal Khashoggi merayu agar pihak berkuasa Arab Saudi membawa pulang jenazah bapa mereka, bagi membolehkan dia dikebumikan di Madinah.

Dalam satu temubual dengan CNN, Salah dan Abdullah Khashoggi, berkata mereka sekeluarga tidak dapat menanggung beban emosi akibat kematian bapa mereka selagi jenazah Jamal tidak ditemui dan dibawa pulang ke Arab Saudi.

“Ia bukan situasi biasa, ia bukan satu insiden kematian yang biasa. Apa yang kami mahu ketika ini, adalah untuk mengebumikan jenazahnya di Al Baqi, Madinah bersama ahli keluarga lain yang sudah meninggal dunia.

“Saya sudah memaklumkan permintaan itu kepada pihak berkuasa Arab Saudi dan berharap ia terlaksana tidak lama lagi,” kata Salah Khashoggi.

Jamal yang juga kolumnis akhbar Washington Post, menemui ajal selepas memasuki bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Namun, sehingga kini, mayatnya masih belum ditemui dan Kerajaan Arab Saudi sudah menjalankan siasatan rasmi berhubung kejadian berkenaan.

Pada 24 Oktober lalu, Raja Salman dan Putera Mohammed bin Salman menyampaikan ucapan takziah kepada Salah dan ahli keluarga Jamal dalam satu pertemuan di Riyadh.

Sehari selepas itu, Salah berlepas ke Washington dan menghadiri temubual dengan CNN yang merupakan penampilan pertamanya sejak kejadian itu.

Salah berkata, dalam pertemuan itu Raja Salman memberi jaminan pihak yang bertanggungjawab terhadap kematian bapanya akan dibawa ke muka pengadilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat