SM Teknik Melaka: Pelajar Keracunan Makanan Kini Kembali Meneruskan Persekolahan
MELAKA: Jabatan Pendidikan Melaka mengesahkan bahawa lebih dari 100 pelajar Sekolah Menengah (SM) Teknik Bukit Piatu, di sini, sudah kembali bersekolah selepas mendapatkan rawatan dipercayai akibat keracunan makanan, Rabu lalu.
Pengarahnya, Abu Bakar Sahari, berkata pihak sekolah juga sudah mengambil tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) susulan kejadian membabitkan seramai 106 pelajar sekolah itu.
Selain itu pegawai kesihatan daerah turut hadir untuk melakukan pemeriksaan, bagaimanapun bagi bekalan makanan, pihak kontraktor lain dilantik mengambil alih tugas.
“Kontraktor baharu yang membekalkan makanan dan minuman itu bagaimanapun tidak memasak di dapur sekolah,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Sementara itu, EXCO Kesihatan negeri, Low Chee Leong, berkata pelajar Tingkatan Empat dan Lima sekolah terbabit dilaporkan mengadu sakit perut, loya dan muntah disyaki selepas makan sambal udang pada waktu tengah hari di dapur sekolah berkenaan.
“Pelajar mengatakan bahawa lauk makanan itu tidak segar dan penyediaan cili dimasak pada jam 10 malam sehari sebelum kejadian dan hanya diletakkan tnapa memasukkan kedalam peti” tambah beliua.
“Pada jam 10 pagi esoknya (Rabu), cili itu dimasak sambal udang. Ketika itu, semua pelajar hanya makan di dewan makan asrama,” katanya.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, dapur asrama diarah ditutup selama 14 hari sehingga 9 November depan mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC).
“Sampel makanan sebenar tidak dapat diambil kerana dibuang pengusaha asrama dan keputusan belum diperoleh,” katanya.