6 Model Bisnes & Cara Buat Duit di Internet. Nombor 4 Adalah Yang Paling Mudah


Pada zaman ini, ramai sangat yang mahu menceburkan diri dalam bisnes online. Betul ke boleh buat duit dengan hanya duduk depan komputer? Ok, artikel ini ditulis khas untuk anda yang baru (newbie) nak berjinak-jinak dengan dunia pemasaran dan cara buat duit di internet sama ada secara sambilan mahupun sepenuh masa.

Terdapat 6 cara yang boleh anda lakukan untuk mula menjana wang di internet. Anda boleh memilih cara buat duit di internet yang sesuai dengan minat dan kemampuan anda.

1 – Hasilkan Produk Berinformasi

Apakah kemahiran yang anda ada sekarang? Jika anda seorang tukang masak di sebuah restoran, kepakaran anda adalah dalam bidang masakan. Maka, anda boleh hasilkan sebuah buku resepi  atau panduan memasak dalam bentuk ebook atau rakaman DVD. Tahukah anda bahawa topik masakan antara topik yang amat popular di internet?

Produk seperti ini tidak memerlukan kos yang besar untuk dihasilkan. Modal utamanya adalah ilmu dan pengalaman anda. Anda hanya perlu kumpul, susun idea dan pengalaman anda itu dengan menuliskannya di dalam microsoft word. Kemudian, tukarkan ia ke dalam format pdf. Kini anda sudah ada satu produk yang boleh anda jual di internet.

2 – Jual Produk Tempatan

Jika anda tidak mempunyai kemahiran untuk menghasilkan berbentuk informasi, anda boleh mencari produk-produk yang mudah di dapati di tempat anda tinggal, tetapi sukar untuk diperolehi di tempat lain.

Contohnya, penjual yang menjual mee siput dan perencah mee bandung yang amat popular dari Muar, penjual tikar dan kek lapis  dari Sarawak, penjual kain batik, songket dan sutera dari Terengganu, penjual kelambu dan tilam toto dari Perlis dan banyak lagi. Mereka bijak menggunakan peluang  dengan memasarkan produk yang popular di tempat tinggal mereka ke seluruh Malaysia menerusi internet.

3 – Promosi Produk Orang Lain (Affiliate)

Jika anda tiada idea untuk buat ebook, tiada produk tempatan yang istimewa untuk dijual, maka anda boleh membantu orang lain menjualkan produk mereka dan mendapatkan komisen. Model bisnes sebegini disebut affiliate.

Contohnya, jika si A menjual ebook “Cara Kuruskan Badan dalam Masa Sebulan”, maka anda boleh mendaftar menjadi ejen di website beliau dan seterusnya, membantu beliau membuat pemasaran.

Katakanlah, ebook tersebut dijual dengan harga RM 50.00 dan penulis bersetuju untuk membahagikan keuntungan 50%-50%, ini bermakna untuk satu jualan ebook, anda akan dibayar sebanyak RM25.00. Jika anda berjaya menjual ebook tersebut kepada 100 individu di internet ,maka anda akan dibayar sebanyak RM2,500.

Anda tidak perlu pening kepala untuk memberi support selepas jualan kerana ia akan diberikan oleh pemilik produk tersebut. Tugas anda hanya mempromosi link affiliate anda kepada orang ramai agar membeli dari link anda.  Anda biasanya hanya akan menerima emel makluman tentang jualan yang terhasil sahaja. Selebihnya, ia akan diuruskan oleh pemilik produk.

4 – Jual Produk Fizikal Tanpa Memegang Stok (Dropship)

Ramai yang minat berniaga tetapi terpaksa menangguhkan niat mereka kerana kekurangan modal. Tahukah anda, satu model bisnes baru telah wujud yang membolehkan usahawan baru memulakan perniagaan TANPA MODAL dan tak perlu simpan stok. Ianya dipanggil bisnes dropship. Melalui model bisnes ini, anda sebagai penjual tidak perlu membeli dan menyimpan stok produk dan tidak perlu menghantar produk kepada pelanggan , kerana, semua itu akan dilakukan  oleh pihak pembekal.

Contohnya,, anda jumpa pembekal produk Al-Quran digital dari syarikat A. Syarikat A menawarkan  harga serendah RM150, manakala, harga pasaran pula bernilai RM250. Ini bermaksud untuk 1 unit produk yang terjual, anda  boleh mendapat untung sebanyak RM100. Kerja anda amat mudah. anda hanya perlu dapatkan gambar produk yang jelas, cantik dan menarik serta butiran lengkap produk tersebut.

Berbekalkan maklumat itu, anda promosikan produk tersebut di Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain medium. Nyatakan harga  jualan dan minta  pembeli membuat bayaran ke akaun bank anda. Selepas menerima bayaran dari pembeli, anda hanya perlu membuat bayaran pula kepada pembekal mengikut harga pembekal dan maklumkan kepada pembekal tentang maklumat pembeli seperti nama, alamat dan nombor telefon. Pihak pembekal pula akan terus menghantar produk tersebut kepada pembeli dengan segera. Anda sebenarnya hanya akan bertindak seperti orang tengah. segala urusan pembungkusan dan penghantaran produk akan dilakukan oleh pihak penjual.

5 – Bina Blog Berinformasi

Ada di antara kita yang gemar menulis. Tahukah anda, anda boleh buat duit dengan hanya menulis sesuatu yang berinformasi di blog. Contohnya, jika anda merupakan seorang pramugari dan pada masa yang sama anda gemar untuk menulis di blog anda ketika waktu cuti, anda boleh berkongsi pengalaman kerjaya anda di blog anda.

Blog yang ditulis oleh pengalaman peribadi seseorang biasanya bakal mendapat sambutan yang tinggi. Apabila blog anda mempunyai pelawat yang konsisten, anda boleh menggunakan kesempatan ini untuk menjana wang dengan meletakkan iklan di ruangan blog anda. Pilihan yang anda boleh sertai ialah:

  1. Google Adsense
  2. Nuffnang
  3. Memasang banner

Jika anda mengemaskini blog secara konsisten dan mampu menarik ramai pembaca, anda berpeluang untuk menjana lebih banyak wang melalui blog anda.

6 – Jual Servis Di Internet

Sekiranya anda mempunyai kemahiran dalam sesuatu perkhidmatan, anda boleh gunakannya untuk menjana wang di internet. Contohnya, jika anda merupakan seorang yang mahir dalam perakaunan, anda boleh menawarkan servis untuk membuat semakan penyata syarikat untuk peniaga kecil online.

Ada juga pelajar universiti yang membuat wang melalui internet dengan menawarkan servis memeriksa ayat bahasa inggeris. Orang ramai hanya perlu menghantar artikel kepada beliau untuk membuat semakan dan pelanggan akan mendapat hasil artikel yang lebih baik. Pelajar itu tidak melakukan servis itu, beliau hanya memberi tumpuan dalam soal pemasaran dan mencari pelanggan namun yang melakukan semua kerja tersebut ialah pensyarah beliau dari fakulti bahasa. Mereka bersetuju untuk membuat servis itu bersama-sama. Agak geliga juga jika dilihat kepada cara pelajar tersebut membangunkan perniagaan online beliau.

Antara kemahiran yang boleh anda tawarkan sebagai servis adalah seperti kemahiran membina website, mengemaskini facebook, merekabentuk logo, menulis artikel dan bermacam lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat