Adakah Tonsil Berbahaya? Ketahui Punca & Bagaimana Cara Untuk Merawatnya Sebelum Terlambat
Apa itu Tonsil?
Tonsil adalah gumpalan tisu limfoid (sub-epitelium) yang berada antara bahagian kiri dan kanan rongga mulut. Iaitu yang terletak di bahagian dinding sisi tekak (orofarinks). Ia juga merupakan sebahagian dari sistem pertahanan badan.
Selain itu, tisu limfoid ini terdiri daripada sejenis sel dipanggil limfosit yang penting untuk bertindak melawan penyakit. Ia berfungsi untuk memantau dan memberi amaran kepada badan akan jangkitan bakteria yang masuk melalui saluran pemakanan ataupun saluran hidung.
Dalam istilah perubatan, tonsil bengkak dipanggil sebagai tonsilitis atau keradangan tonsil. Kebanyakan kes tonsil bengkak adalah disebabkan oleh jangkitan kuman yang terdiri daripada virus dan diikuti dengan jangkitan bakteria di dalam tekak.
Penyakit ini akan membuatkan pesakit tidak selesa dan rasa tidak menyenangkan. Walaubagaimanapun, keadaan ini jarang menjadi kebimbangan kepada kesihatan utama. Rata-rata pesakit tonsilitis yang disebabkan oleh virus akan pulih dengan sendirinya dalam masa beberapa hari. Manakala tonsilitis yang disebabkan oleh bakteria boleh dirawat dengan antibiotik. Biasanya penyakit ini akan pulih dalam masa 7 hingga 10 hari.
Selalunya, penyakit tonsilitis akan berlaku kepada kanak-kanak dari usia prasekolah hingga usia pertengahan remaja. Begitu juga pada orang dewasa.
Punca penyakit Tonsilitis
Berikut adalah penyebab berlakunya penyakit tonsil:
- Kuman virus adalah penyebab utama berlakunya pembengkakan tonsil. Contohnya seperti Herpes Simplex Virus (HSV), Adenovirus, Epstein-Barr virus (EBV), Cytomegalovirus(CMV), Measles dan virus campak.
- Kebanyakan tonsillitis bakteria (strep throat) disebabkan oleh Group A Beta-Hemolytic Streptococcus (GABHS). Ia merupakan bakteria yang paling kerap dan boleh menyebabkan tonsil bengkak dan bernanah. Contoh yang bakteria lain adalah seperti treptococcus pneumoniae, staphylococci dan Hemophilus Influenza.
- Penyakit tonsilitis boleh tersebar daripada orang dengan batuk dan bersin.
- Sebab-sebab lain adalah pengambilan antibiotik yang boleh memusnahkan flora normal organisma di dalam mulut dan diabetes tidak terkawal.
Simptom/Gejala Tonsilitis
Simptom atau gejala seseorang itu mengalami penyakit tonsilitis adalah seperti:
- Sakit tekak yang teruk
- Sukar dan sakit apabila menelan
- Nafas berbau busuk
- Sakit kepala/sakit-sakit badan
- Demam panas/suhu badan tinggi 38 ° ke atas
- Batuk, hilang suara
- Hilang selera makan
- Berdengkur ketika waktu tidur
- Sakit di bahagian telinga dan leher
- Tonsil – Kelihatan merah, bengkak dan bernanah
- Tonsil – Mempunyai bintik putih atau kuning
Rawatan
1. Rawatan sokongan
- Mendapatkan rehat yang secukupnya
- Minum air yang mencukupi setiap hari
- Makan makanan seimbang dan makan secara sihat
- Gunakan ‘lozenge‘ untuk kurangkan sakit tekak
- Gunakan ubat tahan sakit ataupun ubat demam untuk melegakan kesakitan dan meredakan demam
2. Antibiotik
Rawatan antibiotik hanya diberikan jika pesakit mengalami jangkitan disebabkan oleh kuman bakteria. Tanda-tanda kehadiran kuman bakteria seperti:
- Rembesan keputihan atau tompok-tompok putih pada permukaan tonsil
- Mengalami demam panas 38°C hingga 40°C.
- Leukositosis iaitu peningkatan sel darah putih leukosit dalam darah
- Berhubung rapat dengan pesakit atau individu yang dijangkiti kuman bakteria Group A Beta-Hemolytic Streptococci (GABHS).
Walaubagaimanapun, secara klinikal, jangkitan diantara kuman bakteria ataupun virus adalah sukar untuk dibezakan.
Untuk pengetahuan semua, peranan antibiotik dalam Group A Beta-Hemolytic Streptococci (GABHS) adalah untuk mencegah demam reumatik akut, mencegah komplikasi bernanah, dan mengurangkan jangkitan kepada orang lain yang berdekatan.
Antibiotik yang biasa digunakan untuk pesakit tonsilitis:
- Penggunaan Oral Penicillin selama 10 hari
- Kumpulan Cephalosporin atau kumpulan Macrolides
3. Pembedahan
Pembedahan untuk membuang tonsil (tonsilectomy) dilakukan dengan sebab-sebab tertentu setelah pesakit mendapatkan nasihat pakar bedah.