Boleh Mencecah Kelajuan 480 km/jam, Ini Fakta Yang Anda Perlu Tahu Tentang Puting Beliung


Kejadian puting beliung di Taman Tasik Damai dan Kampung Tawas Ipoh pada ambang sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini cukup menggemparkan rakyat Malaysia.

Walaupun hanya berlaku dalam tempoh yang pendek, banyak pokok tumbang dan menimpa rumah-rumah. Ramai yang turut menanggung kerugian yang banyak akibat fenomena yang tidak dijangka ini.

Walaupun fenomena alam ini jarang berlaku di negara kita, ia tidak bermakna negara kita selamat sepenuhnya dari bencana ini.

pokok tumbang akibat puting beliung

Kredit Foto : Facebook Viral Perak

Bagaimana Puting Beliung Berlaku ?

Puting beliung berlaku disebabkan oleh ketidakstabilan atmosfera serta cuaca sejuk dan panas yang tidak menentu.

Ia juga berlaku disebabkan oleh pengumpulan awan kumulonimbus yang membawa ribut petir. Kumulonimbus berasal dari dua gabungan perkataan iaitu “kumulus” yang membawa maksud mengumpulkan dan “nimbus” yang bererti hujan.

Dengan erti kata lain, awan kumulonimbus ialah awan yang mengumpulkan hujan.

Sekiranya angin bertiup ke awan kumulonimbus dengan arah riceh (shear) atau dua arah angin yang berselisih dengan kelajuan yang berbeza, maka tiub angin atau tornado funnel akan terbentuk.

Angin panas akan naik ke atas dan angin sejuk pula akan turun ke bawah memasuki tiub angin.

Ketumpatan angin dan wap air yang terdapat dalam atmostera yang berkelembapan tinggi pula akan menghasilkan kelompok udara yang berwarna putih.

proses kejadian puting beliung

Kredit Foto : Facebook Dunia Flora dan Fauna

Beza Puting Beliung Dengan Ribut Taufan

Walaupun kedua-duanya membawa angin kencang, namun puting beliung dan ribut taufan adalah dua fenomena alam yang berbeza.

Dari segi masa, puting beliung berlaku dalam masa yang singkat dan berlaku dalam satu kawasan sahaja berbanding ribut taufan yang berlaku lebih lama dan boleh meranapkan banyak kawasan.

Taufan boleh berlarutan selama berhari-hari malah lebih seminggu, manakala puting beliung hanya berlaku dalam beberapa jam sahaja.

Tanda-Tanda Sebelum Berlakunya Puting Beliung

Anda juga boleh kenalpasti tanda-tanda sebelum berlakunya fenomena alam ini berdasarkan perubahan cuaca di kawasan anda. Antara tanda-tanda yang boleh dikenalpasti ialah :

  • Satu hari sebelum terjadinya puting beliung, suhu udara dari malam hari hingga ke pagi terasa panas.
  • Kelembapan di kawasan yang akan alami puting beliung juga dikatakan cukup tingi.
  • Hujan tidak turun selama beberapa hari.
  • Sebelum bermulanya puting beliung, anda akan dapati 1 awan ribut yang cukup besar. Awan ini dikenali sebagai Supercell dan boleh mencecah 12,000 meter.
  • Pembentukan corong awan menjulur ke bawah dan pergerakan angin kencang sehingga ranting pokok dan daun-daun berterbangan.
puting beliung di kawasan sawah padi

Kredit Foto : mstar.com.my

Fakta Tentang Puting Beliung

  • Bencana alam ini diukur berdasarkan Fujita Scale iaitu dari F0 hingga F5. Kategori F5 dikira puting beliung paling dasyat dengan angin yang sangat kencang dan boleh merosakkan bandar besar.
  •  Kelajuan angin pula boleh mencecah sehingga 480 kilometer sejam dan mampu menerbangkan bumbung dan menumbangkan pokok.
  •  Kekuatan angin kencang ini juga boleh menukar sebarang objek menjadi seakan peluru. Bayangkanlah jika ranting atau garpu berterbangan pada kelajuan yang tinggi, ia pasti boleh mencederakan orang dan merosakkan harta benda dengan impak yang cukup dasyat.
  • Kejadian ini boleh bertahan sekitar 1 hingga 2 jam, paling lama sekitar 4 jam.
  • Secara purata, terdapat 1,200 puting beliung direkodkan di Amerika Syarikat setiap tahun, lebih-lebih lagi di kawasan yang dikenali sebagai Tornado Valley.

Persediaan Menghadapi Puting Beliung

Ekoran kejadian yang berlaku baru-baru ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan ramalan fenomena bencana alam ini dijangka berulang di beberapa lokasi di negeri Pantai Barat Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Antara negeri yang terbabit ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Memetik perkongsian dari Public Health Malaysia, anda boleh lindungi diri dan keluarga sekiranya berlaku puting beliung melalui tips keselamatan berikut :

  1. Pilih untuk berlindung di bilik atau ruang paling dalam
  2. Jauhi bilik bertingkap
  3. Lindungi kepala anda dengan helmat, bantal atau selimut
  4. Elakkan berada di luar rumah atau berhampiran tingkap untuk merakam gambar atau video.

 

tips keselamatan bila berlaku puting beliung

Kredit Foto : Public Health Malaysia

Peralihan monsun yang sedang berlaku di Malaysia boleh mengakibatkan perubahan cuaca yang sangat sukar dijangka. Walaupun anda berada di dalam rumah, anda perlu ambil langkah keselamatan yang sepatutnya untuk elakkan kemalangan yang tidak diingini.

Oleh itu, anda perlulah sentiasa berwaspada dan utamakan keselamatan diri dan keluarga.  Dapatkan perkembangan tentang perubahan cuaca dari Jabatan Meteorologi untuk maklumat terkini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat