Pesanan Mufti Wilayah Persekutuan Kepada Sajat dan Semua Umat Islam


Merujuk petikan Mufti Wilayah Persekutuan daripada laman facebooknya pada 4 Februari 2020, berkenaan dengan kes yang menggemparkan rakyat Malaysia beberapa hari yang lalu.  Beliau menulis sedikit peringatan kepada Sajat dan semua umat Islam setelah isu tersebut hangat diperkata dan dipersoalkan oleh semua masyarakat. Beliau juga sempat mendoakan Sajat supaya diberikan taufiq, hidayah dan ‘afiah sentiasa.

INGATAN UNTUK SAJAT DAN SEMUA UMAT ISLAM

Berhubung isu berkaitan Transgender, kami telah mengulasnya dengan panjang lebar dalam beberapa buah artikel di laman web sejak tahun 2015.

1.QALAM MUFTI SIRI KE-29: WASPADA ANCAMAN NORMALISASI LGBT

2. AL-KAFI SIRI KE-578: BUDAYA LGBT; HADAPILAH DENGAN ILMU.

3. BAYAN LINNAS SIRI KE-5: ISU TRANSGENDER, TASYABBUH ATAU PENYERUPAAN.

4. IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-202: HUKUM HAKAM BERKAITAN KHUNSA.

Disamping memberikan penjelasan melalui penulisan, saya juga mengadakan lawatan berkala untuk bertemu komuniti Transgender bagi menyampaikan mesej dakwah dan rahmah Islam. Dalam masa yang sama, kami juga tidak lupa untuk menegaskan kewajipan untuk mereka kembali ke pangkal jalan.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) tidak pernah terlibat dalam pengesahan identiti jantina Sajat

Saya mengambil maklum isu yang sedang berlaku berhubung Sajat pada sebelum, semasa menunaikan umrah di Mekah dan kini di Madinah. Untuk makluman, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) tidak pernah terlibat dalam pengesahan identit jantina beliau yang diuruskan oleh pihak jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2018. Jesteru, jika berhubung pengesahan jantina melibatkan pakar perubatan, ianya berada di bawah urusan pihak JAKIM.

Nasihat beliau dalam penulisan beliau :

  1. Fahamilah maksud sebenar ibadah umrah.
  • Imam al-Nawawi pada awal mukadimah kitabnya menyeru kepada bakal haji dan umrah supaya bertaubat daripada segala maksiat dan segala perkara yang makruh serta berusaha mengislahkan diri. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm,48)
  • Apakah niat menunaikan umrah? Ambil waktu yang sunyi, hening di tengah malam semasa bermunajat kepada Allah SWT untuk bertanta kepada diri kita soalan tersebut. Saya amat pasti, tidak ada yang menunaikan umrah hanya untuk melancong dan berseronok. Umrah adalah pengembaraan rohani seseorang untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

2. Fikir terlebih dahulu sebelum bertindak.

Adakah tindakan itu menguntungkan diri, keluarga dan negara atau sebaliknya? Dalam urusan ibadah, kita wajib mengikut syarak, bukannya mengikut hati dan perasaan. Apatah lagi jika seseorang itu dikenali ramai, sudah tentu apa jua bentuk tindakannya akan diperhatikan. Yahya bin Sa’id al-Ansari berkata:

لا تفعل لا لا تفعل فإنك إمام منظور إليك

Maksudnya: “Jangan berbuat sesuatu tanpa berfikir terlebih dahulu, kerana anda di hadapan mereka yang memerhati anda.” (Lihat Tarikh Dimasyq, 50/357)

3. Agensi pengelola umrah wajib bertanggungjawab sepenuhnya.

Mereka hendaklah memelihara dan membimbing jemaah supaya mereka mengikut hukum syarak dan undang-undang setempat. Sepatutnya sentiasa memberi panduan dan peringatan kepada jemaah seliaan mereka agar menepati kehendak ibadat itu sendiri.

4. Allah SWT Maha Kuasa

Allah SWT tidak perlu tunduk kepada kehendak sesiapa untuk memeberikan dosa atau pahala. Dia boleh melaksanakan pada bila-bila masa, tempat dan keaadan yang dikehendaki-Nya.

5. Jujurlah kepada diri sendiri.

Seseorang itu lebih tahu hakikat dirinya. Justeru, jadilah kita sebagai diri kita yang hakiki, bukan dibuat-buat.

6. Jangan mudah memberi komen.

Hal ini saya tunjukkan kepada semua termasuk diri ini terutamanya netizen supaya memahami latarbelakang isu terlebih dahulu. Disamping meraikan adab, tabayyun dan uslub dakwah.

Hukum Umrah Transgender

Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan dalam penulisan bahawa :

  • Wajib bagi seseorang transgender (mukhannas) menunaikan umrah dengan jantina asalnya. Walaupun umrahnya sah jika mematuhi rukun umrah, perbuatannya tetap haram dan dikira berdosa. Malah, dia boleh dikenakan dam kerana melanggar wajib umrah. Masalah ini disebut oleh para fuqaha sebagai infikak al-jihah (hukum yang terpecah kepada beberapa bahagian.
  • Ini juga bertepatan dengan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke 28 Musim Haji 1443H pada kertas kerja bertajuk Khunsa Dan Mukhannas Dalam Permasalahan Ibadat Haji. Muzakarah menyimpulkan bahawa bagi mukhannas semulajadi atau yang disengajalan, telah melakukan pembedahan tukar jantina atau tidak. Dan kes menukar jantina dengan melakukan pembedahan bukam disebabkan keharusan syarak, maka hukum individu tersebut termasuk ibadat haji dan umrah hendaklah mengikut hukum asal kejadian dirinya. Dalam konteks isu ini, Muhammad Sajad wajib secara syarak sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran dan Hadith untuk beribadah dan berpakaian seperti lelaki.

Hormatilah Negara dan Undang-Undang Kita

Seluruh dunia Islam menghormati Malaysia kerana pengurusan haji dan umrah yang amat sistematik. Imej Malaysia sebagai negara yang disegani dari sudut pengurusan haji dan umrah perlulah terus dipelihara. Sebarang tindakan yang dilakukan oleh jemaah haji dan umrah , boleh memberi impak kepada hubungan baik dan kerjasama Malaysia -Arab Saudi. Oleh itu, jangan sesekali menyebabkan tercetusnya sangkaan yang buruk kepada Malaysia.

Peruntukkan undang-undang syariah berhubung kesalahan wanita menyerupai lelaki (pengkid) dan hukum lelaki menyerupai perempuan (pondan dan mak nya) telah sedia diperuntukkan di dalam akta dan enakmen negeri-negeri. Maka, menjadi tanggungjawab pihak berautoriti untuk melaksanakannya dengan penuh amanah, berhemah dan bijaksana.

Ambillah Peluang

Sementara saudara Muhammad Sajad berada di tanha Suci Mekah dan Madinah, saya syorkan agar zahirkan diri sebagai seorang lelaki dan beribadatlah kepada Allah dengan sungguh- sungguh di samping mengisi masa dengan acara-acara ibadat seperti berikut :

  • Banyakkan bertaubat dan beristighfar
  • Banyakkan berselawat ke atas Nabi SAW
  • Banyakkan solat di Masjidil Haram dan MAsjid Nabawi

Saya doakan semoga Allah SWT kurniakan kebaikkan, taufiq dan hidayah kepada saudara Muhammad Sajjad bin Kamaruz Zaman dan jadikanlah umrah kali ini sebagai satu titik perubahan dalam kehidupan anda, amin.

Bak kata HAMKA, “Hidup hanya sekali, justeru biarlah bererti”

Begitulah sedikit petikan yang diambil daripada penulisan Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohammad al-Bakri. Mufti Wilayah Persekutuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat