Pemimpin Cemerlang Organisai Gemilang

Sumber Rujukan : Berita Harian 23 Mar 2017

Berjayanya sesebuah organisasi mahupun kumpulan adalah bergantung kepada pemimpin mereka. Peranan pemimpin amat penting dalam sesebuah organisasi bagi memastikan kakitangan berkerja dengan lebih selesa dan produktif.

Sesebuah organisasi perlu mempunyai pemimpin yang betul untuk memberikan motivasi kepada kakitangan dan membolehkan mereka melakukan kerja dengan sempurna, kata David Coulthard.

Beliau berkata, pengalamannya menyertai pasukan McLaren ketika berlumba mendedahkannya dengan budaya ingin menang dan ia membolehkannya mencapai pelbagai kejayaan ketika itu.

“Justeru, ikutlah budaya ini dan jangan lakukan perkara sama berulang-ulang kali. Kita perlu berubah, perlu melakukan transformasi dan terus merebut peluang yang ada di depan mata,” katanya pada pembentangan sesi bertajuk Pelajaran Transformasi: Dari Lorong Laju pada Forum Transformasi Global (GTF) di Kuala Lumpur, semalam.

Coulthard yang kini memilih kerjaya sebagai pengulas, perunding dan penganalisis sukan juga mengakui bahawa pandangan jauh membolehkannya mencapai apa yang beliau mahukan.

Kunci Kejayaan

Beliau juga percaya, walaupun dunia F1 sudah berubah secara dramatik sejak kejuaraan pertama pada 1950, kerja keras tetap akan menjamin kejayaan.

Selain itu, katanya fokus terhadap bidang yang diceburi adalah kunci kejayaan merangkul sehingga 13 perlumbaan F1 sepanjang kerjayanya.

Coulthard, yang mengangap kejayaannya di atas podium adalah ‘kisah luar biasa seorang pemuda dari sebuah perkampungan kecil di Scotland’, menjelaskan bahawa tekanan dan ketakutan membolehkan mindanya lebih fokus terhadap perlumbaan.

“Ketakutan menumpukan minda saya. Justeru, cari dan lihat apa yang anda mampu capai. Apabila dalam keadaan lebih tenang dan selesa, anda cenderung untuk bersikap sambil lewa.

“Sebaliknya, apabila menguji diri sendiri dan melakukan perkara yang mungkin ditakuti, anda akan menemui kehidupan dalam cara berlainan dan nampak apa yang anda mampu lakukan,” katanya.

Atasi Tekanan

Beliau berkata, tekanan datang apabila seseorang berasakan mereka tidak melakukan pekerjaan setanding dengan keupayaan sendiri.

“Jika anda berusaha sebaik mungkin, tekanan dari luar adalah tidak relevan sama sekali,” katanya sambil menambah tiada suatu perkara yang boleh dianggap mudah di dalam kehidupan.

Coulthard, yang berasal dari Twynholm, Kirkcudbrightshire, di barat Scotland di mana terdapat sebuah muzium dedikasi khas untuk mempamerkan kereta F1 dan trofi kemenangan miliknya, bersara daripada perlumbaan pada 2008.

Foto-Alamy.com

Sepanjang kerjayanya selama 14 tahun, beliau menghabiskan sembilan musim bersama pasukan McLaren, kedua paling panjang dalam sejarah F1.

Beliau memenangi 13 perlumbaan, berakhir di podium 39 kali dan pencapaian terbaik adalah menamatkan kejuaraan di tempat kedua keseluruhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat