“Semoga Dipermudahkan Segala Urusan..” Netizen Bersimpati Kebakaran PPR Intan Baiduri Musnahkan Kenderaan Penduduk


Sebuah insiden pada pagi ini menduga penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Kepong Kuala Lumpur apabila mendapati api marak memusnahkan 50 motorsikal serta empat buah kereta.

Dalam satu kenyataan memaklumkan, kes tersebut berlaku pada jam 4.22 pagi dan melibatkan kedai bengkel separuh kekal di Blok C PPR berkenaan dan merebak ke kawasan parkir.

Sebaik menerima laporan mengenai kebakaran PPR Intan Baiduri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kuala Lumpur menggerakkan 15 anggota serta dua jentera Fire Rescue Tender (FRT)dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Che Mohamad Azwan Che Rahim, berkata setiba di lokasi beberapa minit kemudian, pasukan mendapati api sedang marak membakar deretan kenderaan yang berada di situ.

Pihak bomba dilaporkan mengambil masa tujuh minit untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak dengan menggunakan dua aliran bantu mula.

Mengulas lanjut, Azwan turut mengesahkan bahawa tiada kemalangan jiwa yang terbabit semasa kejadian dan punca insiden ini masih dalam siasatan.

Kebakaran PPR Intan Baiduri Dapat Perhatian Netizen

Berdasarkan tinjauan di laman sosial, tragedi kebakaran PPR Intan Baiduri ini sempat dirakam dan dikongsikan oleh hanishu92 yang dipercayai merupakan salah seorang penduduk PPR tersebut.

 

kebakaran ppr intan baiduri melibatkan 50 motorsikal dan empat kereta

Kredit : Tiktok hanishu92

Pemilik hantaran video yang tular di Tiktok ini akui peristiwa tersebut cukup menggerunkan dan merupakan pengalaman pertama sepanjang beliau menetap di PPR tersebut.

Rakaman video yang dimuatnaik jelas menggambarkan situasi kebakaran dengan api yang sangat besar dan marak. “Kesemua motorsikal digunakan untuk mencari rezeki. Luluh hatiku namun aku redha”, luah pemilik video yang dipercayai turut menanggung kerugian berikutan tragedi tersebut.

Video berdurasi 28 saat itu mendapat lebih 200,000 tontonan, 20,000 tanda suka serta dihujani ratusan komen.

Rata-rata warganet turut bersimpati sambil berdoa dan memberikan kata-kata semangat agar penduduk PPR Intan Baiduri diberikan kekuatan untuk hadapi ujian besar ini.

Sememangnya ia merupakan ujian yang besar buat penduduk PPR tersebut lebih-lebih lagi semua kenderaan rata-ratanya digunakan untuk mencari rezeki.

Kredit : Berita Harian, Tiktok hanusha92

Tag:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat