Hujan Lebat & Berterusan Dari Jam 1 Pagi, Banjir Kini Makin Buruk Di Selangor
Bencana banjir merupakan antara perkara biasa berlaku apabila tibanya musim tengkujuh. Bagi tempat dan kawasan yang saban tahun dilanda banjir, pastinya akan siap bersedia apabila musimnya tiba.
Mereka akan berjaga-jaga bagi memastikan nyawa dan harta benda dalam keadaan selamat. Malah apabila musim ini tiba, kebanyakan penduduk di kawasan rendah tidak akan tidur pada waktu malam. Bimbang dan teramat bimbang jika air naik secara tiba-tiba.
Lebih-lebih lagi jika hujan yang turun secara tiba-tiba berterusan hingga menyebabkan ramai dalam kalangan penduduk di kawasan rendah berasa gundah gulana.
Hujan Lebat Dari Jam 1 Pagi, Banjir Kini Makin Buruk Di Selangor
Seperti mana yang dilalui oleh sesetengah penduduk di Shah Alam, Selangor apabila hujan lebat bermula dari jam 1 pagi tadi menyebabkan 719 mangsa daripada 175 keluarga terjejas. Ekoran itu, mangsa banjir berkenaan terpaksa dipindahkan ke 7 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurut data Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Selangor, PPS dibuka di beberapa lokasi di Daerah Klang iaitu di Masjid Kampung Johan Setia (195 mangsa dari 49 keluarga) dan juga Balai MPKK Kampung Jalan Kebun, Batu 7 ( 58 mangsa dari 15 keluarga).
Dua pusat pemindahan lain pula dibuka di Daerah Petaling iaitu di Dewan Camelia Putra Heights 210 mangsa dari 53 keluarga) dan juga Masjid Putra Heights (227 mangsa dari 51 keluarga). Di Daerah Hulu Langat pula mangsa banjir di tempatkan di Sekolah Kebangsaan Ulu Semenyih (29 mangsa dari 7 keluarga).
Sementara itu, jumlah mangsa di PPS Balai Raya Pekan Bangi Lama (Hulu Langat) serta Dewan Orang Ramai Taman Gemilang (Sepang) masih lagi dalam bancian.
Manakala tiga PPS di Daerah Kuala Selangor (SMK Jeram, 116 mangsa dari 30 keluarga) serta Sabak Bernam (Dewan Bagan Nakhoda Omar, 7 dari 2 keluarga) yang dibuka pada 11 dan 15 November lalu masih lagi beroperasi sehingga hari ini.
Sekali lagi beberapa tempat di Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang turun berterusan sejak 10.30 malam lagi.
Semoga segala urusan mangsa banjir dipermudahkan. Diminta para penduduk di Selangor dan negeri lain berhati-hati dan bersiap sedia dalam sebarang kemungkinan. Jom buat persediaan yang lebih teliti bagi menghadapi bencana banjir yang mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Tips Persediaan Menghadapi Banjir
Antara cadangan barangan yang perlu disediakan sebagai persediaan menghadapi banjir adalah yang pertama, pakaian, kasut dan selimut. Yang kedua, wisel dan juga wang tunai. Yang keempat, lampu suluh dan bateri. Yang kelima, makanan yang boleh tahan lama.
Seterusnya, radio mini mudah alih bateri, kit kecemasan, ubat-ubatan dan juga peralatan kebersihan diri. Jangan dilupa juga, air bersih, telefon serta powerbank dan juga dokumen penting seperti sijil kelahiran, kad pengenalan serta dokumen lain yang penting.
Berkait dengan wang tunai, pastikan wang tunai yang dibawa bukan dalam jumlah yang besar kesemuanya. Pastikan ada juga wang dengan jumlah yang kecil bagi memudahkan urusan. Ingat, masukkan wang tersebut ke dalam plastik kedap udara bagi mengelakkan wang tersebut rosak. Begitu juga dengan lain-lain peralatan yang pantang terkena air.
Pastikan setiap rumah dan keluarga mempunyai 1 beg kecemasan (BOB). BOB ini mengandungi barang-barangan keperluan untuk bertahan selama 72 jam ketika menghadapi krisis bencana sebelum banjir. Walaupun hanya selama 72 jam sekurang-kurangnya kita ada barang keperluan sebelum pihak berwajib datang menyelamatkan.
Sumber berita: Harian Metro
Baca juga: “Air Naik Paras Dada..” Kali Pertama Dilanda Banjir, Penduduk Bukit Gantang, Taiping Sebak