Bibir Termahal Di Dunia Solekan
Jurusolek terkemuka, Vlada Haggerty mengunakan 80 butir berlian 6.5 karat dalam solekan bibir terbarunya. Bibir menggoda menyempurnakan penampilan. Baik rona merah menyala mahupun merah jambu lembut, pilihan gincu mendukung karakter dan gaya, sekali gus membangkitkan daya penarik wanita.
Namun, pernahkah anda melihat solekan bibir diiktiraf paling mahal dilaporkan mencecah ratusan ribu ringgit?
Jurusolek terkenal tersebut diberi tanggungjawab membentuk bibir menggiurkan menggunakan lebih daripada 80 berlian 6.5 karat yang dianggarkan bernilai kira-kira RM 117,135 (USD 26,500).
Vlada yang turut popular di Instagram nama @Vladamua bekerjasama dengan syarikat Smashbox Cosmetics (SC) menzahirkan seni bibir menerusi sapuan gincu bergandingan aksesori dan permata, bersempena pelancaran jenama gincu baharu milik syarikat itu, Be Legendary.
Sentuhan Seni
Masyhur dengan karya luas biasa gincu bibir jenis cecair, peminat sentuhan jejari Vlada menjadikan akaun Instagram rujukan utama dalam mencari pelbagai idea gincu bibir termasuk yang paling mencuri perhatian juga menjadi tanda pengenalannya, lelehan cecair gincu di tengah bibir.
Setiap ilham yang dimuat naik memaparkan sentuhan seni lebih baik, berbanding posting sebelumnya, sekali gus menjawab persoalan peningkatan jumlah pengikutnya yang kini mencecah hampir 675,000.
Ia turut menjelaskan pelantikannya sebagai Ketua Editor Gincu pertama di SC yang dipertanggungjawabkan melakukan khidmat runding dan inovasi berkaitan jenama gincu syarikat itu.
Solekan Sejam
Salah satu kemunculannya di hadapan publik, Vlada menjalinkan kerjasama dengan pereka permata, Zoe Chicco bagi menghasilkan solekan bibir di luar imaginasi, selain paling mahal dalam sejarah dunia.
Vlada melekatkan lebih 80 butir berlian 6.5 karat pada bibir modelnya yang mengambil masa kira-kira 1 jam untuk diselesaikan.
“Saya mahu mengubah persepsi yang mendakwa gincu sebagai pemanis wajah kepada karya seni menakjubkan, sekali gus mencipta keseronokan bereksperimen dengan idea kala mengoles gincu pada bibir,” katanya.
Sementara itu, pereka global Smashbox, Taylor Davis berkata, teknik solekan bibir luar kotak, namun mewah berkenaan dibangunkan bagi menghidangkan kepelbagaian kemilau warna gincu kilat dalam menyempurnakan penampilan.
“Kami cuba serlahkan keanggunan gincu jenis pigmen cecari dan berkilat. Ternyata ia mencipta impak mengagumkan setiap kali kamera merakamkan imejnya,”katanya.
Selar Kylie Jenner
Mereka yang mengikuti perkembangan dunia kosmetik dan kecantikan, nama Vlada tidak asing selepas kontroversi jurusolek itu menyelar Kylie Jenner mencuri ilham solekannya.
Kekecohan bermula apabila bintang realiti TV berkenaan mengambil gambar instagram Vlada untuk dimuatnaikkan di dalam laman rasmi rangkaian kosmetiknya iaitu Kylie Cosmetic juga di instagram.
“Dia langsung tidak rasa bersalah mengambil gambar saya tanpa izin. Malah, langsung tiada inisiatif di pihak Kylie meletakkan kredit nama saya di gambar berkenaan,”katanya.
Tidak cukup itu, Kylie sekali lagi ‘menyamun’ ideanya bagi gambar kempen iklan kosmetik wanita itu untuk edisi percutian.
Paparan imej wanita menutup kedua-dua belah mata dengan jari bersalut serbuk emas di samping bibir merah menggoda sangat menyerupai karya Vlada yang diabadikan jurufoto, Julia Kuzmenko McKim.
Hanya Januari 2017 yang lalu, Kylie memberikan kredit kepada salah satu imej asli yang mencedoknya dari Vlada dan itu pun sekeoas wanita itu menerima amaran keras jurusolek berkenaan yang bertekad menggunakan saluran undang-undang bagi mendapatkan haknya.
Info Ringkas:
Vlada Haggerty
- Asal : Kiev, Ukraine
- Kerjaya : Menceburkan diri sebagai jurusolek profesional pada 2011 selepas menamatkan pengajian di Sekolah Solekan Natalia Nayda di Eropah Timur.
Vlada menerima tawaran menyolek dan mendandan bagi menjayakan gambar kulit Harper’s Bazaar Ukraine, Like a Lion (Australia), Story (Ukraine), HOLE (Germany), WHERE (USA), Elegant Magazine, Elegant Ink dan sebagainya. - Pencapaian : Memenangi dua anugerah iaitu perak dan gangsa pada pertandingan Russia Independent Championship on Hairdressing dan Nail-Design and Make-Up di Saint Petersburg (September 2011)
Pada Oktober, tahun yang sama dapat gangsa di Pertandingan Solekan Kiev.