Ingin Perniagaan Maju? Ini 7 Tips Berniaga Yang Wajib Anda Tahu Sebelum Mula Berniaga


Berniaga memang menjadi idaman atau matlamat semua. Tidak kira besar atau kecil, anda pasti rasa seronok bila ada perniagaan sendiri, ada kedai atau pejabat sendiri dan ada jenama sendiri. Pasti seronok bukan?

Semua orang tahu berniaga boleh memberikan pendapatan. Oleh itu, kita dapat lihat ramai orang diluar sana yang hidup mereka semakin baik setelah mereka berniaga, terutamanya bagi mereka ada ilmu yang betul.

Dengan itu, kami ingin kongsikan tips untuk anda yang mahu memulakan perniagaan. Semoga tips ini dapat memberi inspirasi kepada anda untuk teruskan tindakan.


1. Mesti ada matlamat dengan jelas, mana halatuju yang nak pergi.

Kesilapan ramai peniaga baru ialah mereka salah pasang niat dan mereka berniaga kerana suka-suka. Bila mula-mula ingin berniaga anda perlu ada matlamat yang sangat jelas, matlamat untuk dunia dan akhirat.

Anda juga perlu tahu bagaimana cara hendak merealisasikan matlamat anda. Apa tindakan yang anda akan buat sebulan, 3 bulan, 6 bulan, setahun dari sekarang.

Jika tiada matlamat, anda akan mudah putus asa kemudian jadilah seorang yang asyik tukar bisnes setiap bulan.


2. Bila jumpa seorang mentor, pelajari ilmu sebaik mungkin.

Ini juga penting, berniaga perlu ada seorang mentor yang dah berjaya bina perniagaan. Bila jumpa seorang mentor yang sudi berkongsi ilmu dan sudi meluangkan masa untuk mengajar anda sebaik-baiknya, sedut ilmu mentor itu banyak-banyak. Jika sudah pelajari sesuatu, dan semua ilmu telah dikongsikan baru boleh cari mentor yang baru.

Ada ramai orang suka lompat-lompat, suka tukar-tukar cikgu. Belum habis berguru dengan cikgu ini, dah melompat berguru dengan cikgu lain. Akhirnya, tidak faham apa-apa.


3. Tidak akan berlaku tanpa izin Allah SWT.

Dalam hidup, anda perlu sangat yakin dengan Allah SWT. Bila anda berniaga, perlu yakin setiap pelanggan yang berurusan dengan anda adalah kerana Allah yang menggerakkannya.

Anda pasti akan berhadapan dengan ujian dan setiap yang berlaku tentu ada hikmah di sebaliknya. Jadi bersedia untuk bertindak sebaiknya.


4. Tingkatkan fokus.

Kunci kejayaan dalam berniaga ialah fokus. Jika mahu buat sesuatu buat sampai habis, buat sampai jadi jangan separuh jalan dah berhenti.

Contoh, kalau jual produk kesihatan, fokus kepada satu masalah atau penyakit sahaja. Pakar perubatan terkenal pun tiada jual ubat yang boleh fokus kepada semua penyakit.

Sesetengah peniaga yang suka bertukar-tukar perniagaan kerana mereka tidak fokus. Bila menghadapi masalah dalam perniagaan yang sedang dibuat, mereka akan cepat berputus asa dan buat bisnes lain. Jangan mudah diperalatkan dan diganggu dengan persekitaran. Bila rasa macam nak lari fokus, ingat kembali sebab apa kita mula berniaga.


5. Gunakan teknologi sebaiknya.

Zaman sekarang teknologi sangat penting dan pantas. Kita dapat tengok berapa ramai peniaga yang jualannya menjadi hebat kerana pandai menggunakan teknologi yang ada. Adalah rugi dan pelik kalau anda tak gunakan teknologi untuk kebaikan.

Gunakanlah teknologi yang ada pada masa kini untuk bina perniagaan yang lebih besar dan lebih berjaya. Teknologi juga boleh membawa keburukan, jadi anda perlu kejar untuk manfaatnya sahaja.


6. Komited.

Latih diri untuk komited, komited untuk ubah diri anda menjadi yang lebih baik dari semalam. Komited untuk membaiki dan mengubah perkara-perkara yang membuatkan kita tak gembira.

Kita perlu buat perkara yang tidak pernah kita buat untuk dapat perkara yang tak pernah dapat. Berniaga perlu komited dan jangan seperti hangat-hangat tahi ayam.


7. Berani bertindak dengan ilmu.

Mesti berani bertindak tapi berani tanpa ilmu, hasil yang diperolehi tidak banyak. Berani tanpa ilmu ibarat seperti anda pergi berperang tanpa senjata atau bawa keris pendek dan nak lawan dengan senjata moden.

Sediakan diri anda dengan ilmu perniagaan dan bertindak dengan berani dan penuh yakin bahawa semua usaha anda akan bawa kejayaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat