Sukar Untuk Tidur Pada Waktu Malam ? Jom Cuba Teknik Mudah Untuk Tidur Dalam Masa 2 Minit Gaya Askar !
Tidur sebenarnya adalah perkara yang mudah. Namun untuk dapatkan tidur yang berkualiti tidaklah semudah yang disangka.
Dah berjam-jam bergelap di dalam bilik, namun kita masih susah untuk terlena. Esok pagi pula nak kena bangun awal untuk ke kerja atau kelas.
Rehat yang tidak mencukupi pada waktu malam juga boleh menyebabkan pelbagai kesan negatif pada badan dan otak, termasuklah menjejaskan kebolehan untuk belajar, mengingat serta boleh menjejaskan emosi seseorang.
Ini adalah perkara normal dan sesiapa sahaja boleh alaminya. Baru-baru ini, seorang askar telah berkongsikan teknik mudah untuk tidur dalam masa 2 minit melalui TikTok.
Seperti yang kita tahu, askar semestinya memerlukan rehat serta tenaga yang mencukupi bagi memenuhi rutin harian mereka.
Teknik mudah untuk tidur ini dipraktikkan oleh askar bagi membolehkan mereka tidur dalam apa jua keadaan.
Teknik tidur ini juga digunakan oleh askar untuk dapatkan tidur dalam keadaan yang tidak selesa seperti ketika di medan perang dan keadaan hingar-bingar.
Menurut kajian yang dilakukan oleh askar ini, teknik mudah untuk tidur dalam masa 2 minit ini pada awalnya diperkenalkan kepada juruterbang jet pejuang yang perlukan 100% konsentrasi ketika di udara.
Konsentrasi ini hanyalah boleh didapati dengan tidur serta rehat yang mencukupi.
Bukan sahaja untuk askar, malah teknik mudah boleh dipraktikkan oleh sesiapa sahaja yang mengalami kesukaran untuk lelapkan mata pada waktu malam.
Teknik Mudah Untuk Tidur Dalam Masa 2 Minit
Pertama anda perlulah berbaring dalam keadaan tenang. Pastikan setiap anggota badan dari kepala hingga kaki berada dalam keadaan relaks.
Mulakan dengan tenangkan otot pada bahagian dahi, kemudian tenangkan mata, pipi, rahang dan tumpukan minda anda pada pernafasan.
Selepas itu, rehatkan bahagian leher dan bahu anda. Letakkan kedua-dua tangan di sisi dan pastikan semua otot berada dalam keadaan rehat termasuklah jari jemari.
Setelah anda merehatkan otot-otot pada badan, tarik nafas dalam-dalam dan hembus perlahan-lahan. Rehatkan dada sambil memastikan bahagian otot yang berada dari pinggang sehingga ke kaki berada dalam keadaan tenang.
Ketika anda lakukan teknik ini, adalah penting untuk anda clearkan minda sebanyak yang mungkin.
Untuk bantu anda clearkan minda, askar ini berikan tips dengan mengajak kita berfikir tentang dua situasi ketika hendak tidur.
Yang pertama, bayangkan anda sedang berbaring di atas kayak yang berada di atas tasik yang tenang dengan langit yang cerah.
Kedua, anda boleh bayangkan situasi ketika anda berada di dalam bilik gelap sambil anda berbaring di dalam hammock berwarna hitam.
Sebaik sahaja minda anda terganggu dan mula untuk berfikir tentang perkara lain, ulangi perkataan “Jangan Fikir” selama 10 saat.
Inilah teknik yang disarankan oleh askar ini. Dia juga sempat berpesan untuk praktikkan cara tidur ini setiap malam selama 6 minggu.
Pasti anda akan lihat keberkesanannya ! Menurutnya, 96% orang yang sudah kuasai teknik ini sudah mampu untuk terlelap terus dalam masa kurang dari 2 minit.
Pengguna TikTok yang sudah mencuba teknik ini juga turut mengesahkan keberkesanan teknik ini!
Tips-Tips Untuk Dapatkan Tidur Yang Berkualiti
Selain mempraktikkan teknik yang dikongsikan askar ini, anda juga boleh amalkan tips-tips untuk dapatkan tidur yang lebih berkualiti setiap malam seperti berikut :
Mandi sebelum tidur
Sebuah kajian mendapati mandi sebelum tidur dapat meningkatkan kualiti tidur dengan baik. Ini juga merupakan tenik tidur yang mudah dan berkesan untuk tenangkan badan serta minda pada waktu malam.
Amalkan yoga dan meditasi
Kedua-dua aktiviti ini menggalakkan latihan pernafasan yang sangat bermanfaat untuk anda dapatkan tidur yang lebih baik setiap malam.
Ia juga sangat berkesan dalam meredakan stres serta membantu tingkatkan kebolehan untuk fokus.
Elakkan Tidur Siang
Akibat sukar tidur pada malam hari, seseorang akan lebih cenderung untuk tidur pada waktu siang.
Walaupun power nap dikatakan baik untuk kesihatan minda, namun sesetengah kajian mendapati tidur yang panjang (sekurang-kurangnya 2 jam) pada waktu siang boleh menjejaskan kualiti tidur seseorang.
Oleh itu, bagi memastikan anda dapat tidur yang lebih berkualiti pada waktu malam, elakkan tidur pada waktu siang atau pendekkan waktu tidur ke 30 minit sahaja.
Tidur yang berlebihan tidak kira pada waktu siang atau malam juga merupakan tabiat yang tidak baik untuk kesihatan.
Amalkan Senaman
Penghasilan serotonin oleh otak melalui amalan senaman dapat membantu seseorang untuk tidur dengan lebih baik pada waktu malam.
Waktu senaman juga memainkan peranan penting. Menurut Healthline, untuk membantu anda tidur dengan lena pada waktu malam, anda disarankan untuk bersenam pada waktu pagi berbanding pada waktu petang.
Jangan Gunakan Gadget
Teknik lain untuk mudah tidur ialah dengan mengelakkan aktiviti yang melibatkan gadget seperti menggunakan smartphone, laptop dan menonton TV.
Penggunaan gadget boleh membuatkan minda anda kekal aktif. Di samping itu, pantulan blue light dari peranti elektronik juga boleh merencatkan rembesan melatonin yang membantu anda untuk tidur.
Elakkan Pengambilan Kafein
Walaupun kesan kafein berbeza di kalangan individu, anda disarankan untuk elak mengambil minuman berkafein sekurang-kurangnya 6 jam sebelum tidur.
Sebaliknya, anda boleh ambil teh chamomile untuk membantu anda lebih relaks sebelum masuk tidur.
Masalah sukar untuk tidur bukan sahaja merunsingkan, malah ia juga boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal.
Apa kata anda cuba teknik mudah untuk tidur yang disarankan oleh askar tadi dan amalkan gaya hidup yang sihat bagi mendapatkan tidur yang lebih berkualiti ?
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda tidur dengan lebih baik lagi pada setiap malam.