PILIHANRAYA UMUM 14 : Ketidakcekapan Undi Pos
Amaran – Ini kisah yang panjang. Selepas baca, mohon keluar mengundi pada 9 Mei bagi pihak saya. Terima kasih saya ucapkan.
Bismillahirrahmanirrahim,
Sekarang, jam 2.36 petang waktu United Kingdom (UK), 5hb Mei 2018. Jam 9.36 malam di Malaysia, dan masih 5 Mei 2018. Tarikh yang ditetapkan pihak SPR untuk pengundi pos. Empat (4) hari sebelum tarikh pengundian sebenar berlaku.
Pada saat status ini ditulis, saya masih BELUM menerima sebarang kertas undi. Ya, masih belum ada bayangnya, walaupun pada hari undi pos ditetapkan.
Untuk makluman, semua undi pos mesti dihantar semula ke alamat yang diberitahu, sebelum jam 5 petang pada 9hb Mei 2018 waktu Malaysia, bermakna jam 10 pagi pada 9 Mei waktu UK. Iaitu, kurang dari empat hari, jadi berbaki sekitar 3 hari lebih sahaja.
Oh ya, hari ini hari Sabtu, esok Ahad, dan lusa pula Isnin, iaitu hari cuti pekerja rakyat di UK. Maka, hari bekerja adalah hari Selasa sahaja, dan pagi Rabu sebelum jam 10 pagi untuk mengepos semula kertas undi yang belum tiba.
Dikongsikan juga oleh saudari Tasneem A Bakr :
saya di Colorado USA. dah daftar undi pos sbb mmg xboleh balik before april 7 tarikh tutup untuk daftar undi pos. tunggu punya tunggu dapat sms dr dhl beritahu ada package otw. patut smp ke tgn saya mei 7. Kalau Denver tak ada snow mungkin. If snow mesti akan delay lagi. If htr ke embassy maybe smpt. tapi if nak pos balik ke msia mesti x smpt utk smp sebelum 5pm 9 Mei. sgt kecewa dgn cara SPR kendalikan hal ni. tapi tak terkejut sbb dah masak sgt dgn taktik taktik kotor time pilihanraya ni.
Sepanjang minggu ini, berikut adalah persoalan-persoalan yang timbul dalam fikiran saya :-
1- Bilakah kertas undi mula dipos?
Oh, tiada jawapan dalam website SPR sebagai wadah rasmi. Sebaliknya, saya jumpa maklumat ini dalam website Bersih. Pelik apabila maklumat bukan rasmi lebih telus daripada website rasmi. (Rujuk gambar)
https://www.bersih.org/maklumat-untuk-pengundi-pos-luar-ne…/
Kertas akan mula dikirim selepas tamat pencalonan iaitu pada 28 April, iaitu pada hari Sabtu lepas. Oh, tetapi, saya jumpa pula maklumat di sini yang kertas undi hanya mula dikirim pada 2 Mei, Rabu sebab 1 Mei adalah hari cuti.
http://www.freemalaysiatoday.com/…/bersih-hanya-4-hari-bek…/
Jadi, tinggal Rabu, Khamis, Jumaat, dan Sabtu untuk terbang daripada Malaysia ke UK. Hmmm….
2- Apakah jaminan kertas undi akan tiba pada pengundi luar negara daripada SPR?
Oh, ada soalan ini di FAQ (rujuk gambar 1), tetapi soalan dijawab dengan bukan jawapan yang sepatutnya. Hmm, pelik.
3- Ke mana saya patut hantar semula kertas undi selepas terima (jika tiba)?
Hanya ada maklumat kertas undi perlu dipulangkan ke Returning Office (RO). Di mana pula RO itu? UK? Malaysia?
Sekali lagi, maklumat ini tidak diberitahu secara jelas di website rasmi. Dan, jumpa pula pada website tidak rasmi, yang alamat RO akan dimaklumkan pada surat bersekali kertas undi.
4- Siapakah yang akan menanggung kos penghantaran semula kertas undi?
Bagus, maklumat ini ada dalam website SPR. Baik, ini di bawah tanggungan pengundi.
Nampaknya, jika kertas undi tiba pada hari Selasa 8 Mei (Isnin 7 Mei cuti umum UK), hanya berbaki kurang 24 jam untuk hantar semula kertas undi untuk sebelum jam 10 pagi. Perlu tanggung kos pos untuk surat ini naik jet.
Tetapi, jika kertas tidak sampai sebelum jam 5 petang 9hb Mei 2018, undi pos saya tidak diterima, walaupun saya sudah keluarkan kos untuk menghantarnya pulang. Hmmm…
Maka, saya akan jadi sebahagian statistik mereka yang tidak keluar mengundi pada tahun ini.
Sekian, terima kasih.
Laporan daripada rakyat Malaysia dari UK yang mahu mengundi. Mungkin lebih baik saya siapkan 2 assignment coding, 1 esei 3000 patah perkataan, dan bersiap sedia untuk 1 kuiz dan 3 kertas peperiksaan akhir semester, yang semuanya akan bermula minggu depan sehingga 2 minggu lagi, daripada kisahkan masa hadapan Malaysia.