CJ WOW SHOP Sasar Kutip RM120 Juta Pada Ulang Tahun Pertamanya
Sebuah laman sesawan membeli belah iaitu CJ WOW SHOP menyasarkan perolehan RM120 juta menjelang akhir tahun ini berbanding RM90 juta dalam tempoh setahun pertama beroperasi.
Ketua Pegawai Eksekutif CJ WOW SHOP, Kim Yang Hyun berkata, selepas mencapai kejayaan besar pada tahun pertama, saluran beli-belah itu bersedia mencapai pertumbuhan lebih kukuh untuk tahun seterusnya.
“Saluran beli-belah di rumah berbilang platform ini sudah memenuhi keperluan 350,000 pelanggan dengan rekod jualan RM90 juta.
“Pada tempoh sama, saluran ini menambah rangkaian penawaran daripada 27 kepada lebih 400 produk antaranya produk rumah, elektrik, alat elektronik, kecantikan dan fesyen,” katanya pada sambutan ulang tahun pertama ‘Setahun Bersama WOW’ pada 1 April 2017.
Kerjasama Erat
Yang Hyun berkata, kerjasama erat dengan jenama tempatan sentiasa menjadi keutamaan dan merancang meneruskan pendekatan itu dalam perancangan pertumbuhan seterusnya.
“Capaian luas membolehkan kami menawarkan platform kepada pelbagai jenama, terutama perniagaan kecil bagi membolehkan mereka menghubung dengan penonton kami,” katanya.
Belaiu berkata, CJ WOW SHOP sentiasa membawa inovasi kepada produk dan apa yang ditawarkan memenuhi keperluan pelanggan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Esekutif, Media Prima Television Networks (MPTN), Datuk Kamal Khalid berkata, CJ WOW SHOP adalah salah satu pemacu utama pertumbuhan perniagaan Media Prima.
“Pelaksanaan inisiatif baharu, seperti perniagaan beli-belah dari rumah berjaya mengukuhkan aliran perolehan bukan tradisional kami.
“Kejayaan ini membuktikan kepentingan televisyen dalam kehidupan warga Malaysia sehingga ke hari ini.
“Ia membolehkan saluran ini menyampaikan kandungan inovatif yang relevan dengan penonton umum dan menjadikannya mudah untuk dinikmati,” katanya.
Pada masa sama, Kamal berkata, antara 60 hingga 70 peratus produk yang di tawarkan melalui saluran itu ketika ini adalah daripada pengusaha tempatan, berbanding sebelum ini.
Sambutan Setahun Bersama WOW itu diraikan bersama 100 pelanggan bertuah selain hos rancangan CJ WOW SHOP terdiri daripada Nadia Annuar, Zaim Helmi, Fiza Saad serta artis jemputan Back2Basixx.
Tetamu yang hadir turut menerima hadiah percuma bag Eksekutif WOW yang direka oleh Datuk Siti Nurhaliza serta cabutan bertuah.
Pembeli melalui saluran CJ WOW SHOP juga berpeluang menerima beg berkenaan melalui pembelian antara 1 hingga 30 April ini.