14 Tempat Menarik Perlu Dikunjungi Sempena Tahun Melawat Kelantan 2020.
Apa khabar warga pembaca sekalian?!
Tahun ini merupakan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) yang mana pelancarannya telah disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelang detik tahun baharu 2020 di Dataran Merdeka yang berlangsung penuh meriah dan mendapat sambutan baik.
Saranan Perdana Menteri perlu kita sahuti dengan sama-sama memainkan peranan supaya sasaran menarik kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa, dapat diraih. Bukan itu sahaja, Dr Mahathir turut mengajak agar segenap lapisan masyarakat di Malaysia terus melakar pertumbuhan dalam industri pelancongan dengan ‘merebut’ segala macam peluang bagi mengekalkan momentum memberangsangkan saban tahun.
Oleh itu, entri kali ini, penulis ingin berkongsi tentang beberapa tempat menarik yang patut dikunjugi oleh pelawat yang bakal kunjung tiba di Kelantan! Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki anda ke bumi Kelantan, yang mana bukan sahaja tersohor dengan budaya dikir baratnya, bahkan dari segi kepopuliritiannya yang tak dapat dinafikan lagi seperti tumpuan kawasan pasar, tempat makan menarik, kawasan pantai dan juga destinasi bersejarah, anda patut tahu lebih lanjut apa yang boleh didapati di Kelantan setibanya di sini. Tidak kurang juga beberapa destinasi pelancongan yang terdapat di sini lebih terarah kepada aktiviti menikmati keindahan alam semulajadi seperti di hutan rimba, kawasan air terjun dan termasuk juga resort penginapan di Kelantan.
1. MUZIUM 3D KELANTAN
Untuk pertama kalinya di Kelantan, berlangsung bagi peminat yang ingin menyaksikan pameran lukisan mural bertemakan 3D dan fantasi!
Bermula dari 15 Februari sehingga 15 April 2020 bertempat di 3D ART MUZIUM, Muzium Negeri Kelantan.
Terdapat pelbagai tarikan dan aktiviti menarik menanti anda! Antaranya pameran lukisan mural bertemakan 3D dan fantasi yang mempunyai pelbagai karakter dan sesuai untuk seisi keluarga. Juga termasuk gerai jualan, booth pameran dan pelbagai lagi aktiviti menarik.
Harga tiket masuk adalah berpatutan; RM6 bagi dewasa, dan RM4 bagi kanak-kanak. Pameran dibuka dari jam 9.00 pagi sehingga 10.00 malam. Jadi, jangan lepaskan peluang ini! Bawa keluarga anda beramai-ramai!
2. Collectibles Museum (CM)
Seterusnya, bagi peminat barangan seperti model kereta mainan Hot Wheels, barang vintage, koleksi baju-baju dan banyak lagi, tempat yang perlu anda lawati adalah di Collectibles Museum (CM). CM merupakan satu-satunya muzium yang memaparkan koleksi orang perseorangan yang ada di Kelantan. Ia juga adalah satu-satunya muzium diecast yang pertama di Malaysia dengan lebih 30,000 koleksi kereta diecast.
Muzium ini telah dibuka kepada orang ramai dan perlu ditempah untuk lawatan secara berkumpulan. Waktu pembukaannya adalah dari jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang. Harga tiket adalah RM15 untuk VVip, RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak. Lokasinya adalah Lot 1318, Taman Koperatif, Jalan Wakaf Mek Zainab, Kampung Tg. Chat. 15300 Kota Bharu atau anda boleh sahaja mengguna peranti Google/Waze. Untuk maklumat lanjut, anda boleh hubungi Siti Maisarah di talian +6011-10020678 untuk membuat tempahan.
Menurut pengurusnya, koleksi peribadi ini telah dikumpul daripada berpuluh tahun yang lalu dan dengan membuka muzium ini pemiliknya berharap dapat berkongsi minatnya dengan warga Kelantan dan menjadi aktiviti pelancongan bagi pelancong yang berkunjung ke Kota Bharu.
3. PASAR SITI KHADIJAH
Pasar Siti Khadijah ini tidak asing lagi namanya jika anda melawat ke Kelantan. Nama yang cukup sinonim dengan tarikannya yang menjual dan membekal pelbagai barangan basah dan kering seperti budu, sayur-sayuran, kuih-muih tradisional Kelantan, keropok, dodol, serunding, rempah ratus dan macam-macam lagi. Tidak ketinggalan juga barangan kraftangan, pakaian tersohor seperti batik, barang kemas, alat solek, permainan, barang sulaman dan pelbagai lagi, mampu memukau mata para pengunjung andai mereka singgah ke sini.
Sekiranya anda ke sini untuk membeli barang secara borong sama ada beli untuk saudara-mara atau kawan-kawan pejabat, harga special boleh dirunding! Kalau nak murah lagi, anda jangan segan silu untuk cuba tawar-menawar dengan peniaga.
Di tingkat 1 pula, terdapat medan selera yang menyajikan pelbagai jenis lauk-pauk yang menyelerakan seperti laksam Kelantan, nasi berlauk, mee celup dan pelbagai lagi. Sudah penat bershopping, apa kata anda singgah di medan selera untuk mencuba makanannya yang memang sedap-sedap dan pasti puas hati punyalah!
4. PASAR TERAPUNG PULAU SURI
Jika dulu kebanyakan daripada kita perlu ke Thailand untuk merasai keunikan pasar terapung, tetapi kini tidak lagi! Anda yang datang ke Kelantan wajib singgah di Kampung Pulau Suri, Tumpat bagi merasai sendiri pengalaman mencari makanan di pasar terapung. Rugi sekiranya anda tidak merebut peluang ke tempat yang juga cukup popular dengan makanan orang Kelantan dan disertai dengan keindahan pemandangan kawasannya yang disekelilingnya terdapat Sungai Kelantan.
Pasar terapung ini hanya dibuka pada hujung minggu. Bayaran masuk yang dikenakan sangat minimal termasuk bayaran tambang bot. Pelancong yang ingin ke Kelantan Floating Market ini, mereka perlu menaiki bot di Jeti Kuala Besar yang terletak di Kota Bharu.
5. AIR TERJUN JELAWANG
Kepada penggemar aktiviti pendakian, anda jangan lepaskan peluang untuk singgah di salah satu tarikan tempat para pelancong yang terletak di Gunung Stong, Air Terjun Jelawang. Air terjun bertingkat di Kelantan ini merupakan antara yang tertinggi di Malaysia serta Asia Tenggara.
Ia agak popular untuk aktiviti mandi-manda serta aktiviti lain seperti mendaki hingga ke puncak dan perlu melalui trek yang mencabar sejauh 2 km ( 3 jam ). Pengalaman melihat detik matahari terbit turut boleh direalisasikan dengan pendakian mencabar dan setibanya anda di puncak, eloklah anda bermalam di Baha’s Campsite seandainya anda ingin melihat dan menikmati panorama indah melalui puncak Air Terjun Jelawang pada keesokan paginya.
6. MASJID AR-RAHMAN
Terpegun seketika tatkala bagi sesiapa yang pertama kali menjejakkan kaki di Masjid ar Rahman di Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa, Kelantan.
Apa tidaknya, seni bina dan ukiran yang terdapat padanya indah mata memukau!
Masjid yang dibuka pada tahun 2018 ini pasti menjadi buah mulut bicara setiap orang yang melawatinya. Kira-kira tujuh kilometer jaraknya ataupun lebih kurang kira-kira 10 minit sahaja dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, masjid ini mesti dimasukkan dalam checklist itinerari para pelancong yang datang ke Kelantan. Anda tidak perlu khuatir, meskipun jalan ke masjid ini perlu melalui kawasan kampung dan pedalaman, ia mudah sahaja diakses dengan kenderaan tanpa perlu meredah sebarang hutan.
Apa yang uniknya masjid ini, adalah gabungan seni bina Melayu Kelantan, nusantara terutama Indonesia dan sedikit sentuhan Turki dan Yaman. Jika diamati secara mendalam, terdapat ukiran ayat al-Quran pada kayu yang terletak di bahagian atas masjid.
Di tambah lagi kecantikan terdapat pada masjid ini adalah ia dikelilingi dengan tasik yang menghijau dan mendamaikan bagi sesiapa yang melihatnya. Jadi, singgahlah ke sini untuk merasai pengalaman yang lain dari lain.
7. BAZAR TOK GURU
Bagi kaum hawa khususnya, Bazar Tok Guru mesti dikunjungi terlebih dahulu sebelum anda ingin pulang ke tempat halaman masing-masing. Selain Pasar Siti Khadijah, di sini juga adalah ‘Syurga Borong’ untuk kaum hawa. Tidak terlepas juga kaum adam. Waktu operasinya adalah setiap hari dari jam 9.00 pagi sehingga jam 6.00 petang. Ia terletak di Jalan Sultan Ibrahim, Bandar Kota Bharu, Kelantan. Di sini terdapat lebih 300 lot kedai/bazar yang menjual produk-produk tempatan seperti kain ela, tudung, baju wanita, telekung solat, jubah dan sebagainya.
8. RUMAH API PANTAI SENOK (PANTAI NAMI, KOREA)
Bagi yang datang beramai-ramai dan ingin santai-santai di pantai, rebutlah peluang untuk ke ‘Nami Island Malaysia’ ataupun nama sebenarnya ialah Rumah Api Pantai Senok. Keindahan dan kecantikan pantainya sangat seronok untuk diterokai bersama. Kawasan sekeliling pantai ini ditumbuhi dengan tumbuhan landskap pokok rhu yang tumbuh tinggi dan redup mata memandang. Pantai ini sering mendapat perhatian pengantin baru yang ingin membuat wedding photoshoot mereka di sini kerana kawasannya yang mempunyai landskap tepi pantai yang agak berteluk dan berbatu dan di tambah lagi dengan penampakkan rumah api berlatarkan laut biru terbentang luas indah.
9. ZON BEBAS CUKAI RANTAU PANJANG
Jika anda belum berkesempatan untuk ke Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, cepat-cepatlah singgah ke sini sebelum berangkat pulang. Ia juga seperti di Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor, yang mana ia merupakan destinasi untuk membeli-belah pelbagai barangan seperti toto, periuk belanga, pinggan mangkuk, sudu garfu, permainan kanak-kanak serta pelbagai lagi barangan menarik yang boleh didapati. Apa yang membezakannya adalah dari segi harga yang ditawarkan dan pilihan barang yang ada. Dikatakan juga bahawa di sini lebih besar kawasannya dan lebih banyak pilihan kedai untuk membeli jika nak dibandingkan dengan Pengkalan Kubor. Sekiranya telah puas shopping, anda boleh sahaja singgah di mana-mana kedai makan yang terdapat disekitar situ. Baik masakan tempatan dari Malaysia, hinggalah ke selera Thailand yang patut anda cuba!
10. MUZIUM NEGERI KELANTAN
Serba sedikit latar tentang Muzium Negeri, ia ditubuhkan pada tahun 1990 bertempat di bangunan lama Majlis Perbandaran Kota Bharu, Jalan Hospital. Bangunan ini telah dirasmikan sebagai Muzium Negeri Kelantan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan.
Bahagian dalam muzium ini telah disusun atur dengan menambah setengah tingkat lagi dan menyediakan ruang-ruang untuk pameran. Pada ruang awalnya, aliran pameran Muzium negeri ini mempamerkan sejarah negeri Kelantan semenjak awal hingga kepada era moden. Pada bahagian setengah tingkat di atas pula diadakan pameran mengenai Seni Budaya Negeri Kelantan termasuklah peralatan permainan wayang kulit, rebana ubi, menora, makyong dan sebagainya. Pada bahagian bawah bangunan pula, ditempatkan juga pejabat am Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Pejabat Pengarah Muzium dan lain-lain bahagian.
11. MASJID KAMPUNG LAUT
Tidak dinafikan di Kelantan sememangnya terdapat banyak masjid lama serta mempunyai ukiran seni bina kayu yang unik dan cantik-cantik belaka. Terletak di Nilam Puri, Masjid Kampung Laut yang dipercayai merupakan masjid yang tertua yang masih wujud di dalam benua Nusantara.
Mungkin ada yang belum pernah dengar, mengenai kisah unik masjid ini, yang sebenarnya tapak asalnya bukanlah berada di lokasinya sekarang. Terkejut bukan?
Asal lokasi pembinaan masjid ini sebenarnya di Kampung Laut, Tumpat. Akibat banjir besar (bah) pada tahun 1966, masjid ini telah dialihkan ke lokasi sekarang. Majoriti struktur bangunan ini masih asli meskipun mempunyai beberapa kerosakan akibat air bah. Yang uniknya lagi, masjid ini meskipun berkayu, tapi binaannya tanpa paku dan semestinya menjadikan ia satu tempat yang mesti dikunjungi oleh para pelancong.
12. PANTAI TOK BALI
Jika anda seorang kaki pancing ikan, amatlah dialu-alukan untuk singgah ke Pantai Tok Bali. Terdapat lokasi seperti di sekitar jambatan yang sangat tinggi yang merentas muara sungai untuk para pemancing ikan.
Bukan sahaja pemandangannya yang cantik dan menarik, pantai ini turut juga menyediakan penginapan di resort-resort yang terletak di tepian pantai seperti D’muara One Chalet Tok Bali, Tok Aman Bali Beach Resort, Arwana Inn Tok Bali dan D’Kuala Resort yang begitu ideal untuk tempahan percutian lagi-lagi kepada pasangan yang ingin berbulan madu di sini. Lokasi Pantai Tok Bali berdekatan dengan muara Sungai Semerak di samping terdapat juga jeti yang menjadi tempat pendaratan bot para nelayan.
13. KAWASAN BEBAS CUKAI PENGKALAN KUBOR
Tidak cukup lagi anda shopping sakan di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang? Usah risau, sebab di Kelantan ini memang banyak tempat sebegini untuk anda terokainya! Lokasi seterusnya untuk anda menerbangkan duit anda dengan membeli barang idaman, adalah di Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor. Tepat dari jam 10 pagi hinggalah ke petang ia beroperasi. Dari periuk belanga hinggalah ke pakaian, anda boleh dapatkan di sini. Kepada food hunter juga jangan lepaskan peluang untuk menikmati makanan-makanan lazat seperti mee chambul, pulut ayam, mee celup, pulut mangga, pulut ayam, ais krim baba dan sebagainya di sini!
14. ISTANA JAHAR (MUZIUM ADAT ISTIADAT)
Satu lagi destinasi bersejarah yang patut dikunjugi oleh anda sekeluarga, bertempat di Jalan Sultan, Bandar Kota Bharu, Kelantan. Istana Jahar ( Muzium Adat Istiadat ) ini sebenarnya pada asal ialah sebuah istana dan kini menjadi sebuah muzium. Keunikan yang terdapat pada bangunannya adalah ia dibina secara tradisional menggunakan kayu cengal dan tanpa menggunakan sebatang paku ataupun skrew.
Anda boleh dapati pelbagai bahan bersejarah Negeri Kelantan dan diorama yang menjadi tarikan pelancong seperti Adat Istiadat DiRaja termasuklah adat pertunangan, perkahwinan, melenggang perut, adat pijak tanah dan sebagainya. Di bahagian Balai Senjata, pengunjung dapat menerokai pelbagai koleksi senjata tradisional lama seperti badik, keris, lembing, kelewang dan lain-lain senjata lagi.