Pesakit Yang Diserang Makhluk Halus Berjaya Diubatkan Oleh Pihak Hospital – Si Dukun Pula Yang Disanjung Tinggi
Tersebutlah kisah…
Ada seorang pesakit yang memang diketahui menghidapi kencing manis tapi tak mahu makan ubat. Pesakit ini lebih suka berubat dengan dukun. Namu kali ini dia diserang ‘makhluk halus’ yang membiak dikeseluruhan paru-parunya.
Sudah teruk tak mampu bernafas, dia terus melupakan dukunnya lantas terus ke hospital.
Di hospital, keadaannya sudah tenat sehingga terpaksa dimasukkan tiub pernafasan. Kesan jangkitan makhluk halus sudah merebak ke seluruh tubuh hingga buah pinggang tak mampu berfungsi. Terpaksa jalani dialisis. Terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi.
Semakin hari, keadaan bertambah teruk. Berhari-hari para doktor dan jururawat bertungkus lumus menyelamatkan nyawanya. Beberapa kali jantungnya terhenti hingga terpaksa diberikan bantuan CPR. Namun selepas beberapa waktu, ‘makhluk halus’ semakin berkurangan kesan ubat anti-makhluk halus yang telah diberikan beberapa hari. Pesakit mula stabil.
Satu hari, keluarga pesakit meminta dukun datang ke hospital untuk bantu mengubati pesakit di hospital. Pihak hospital benarkan asal saja tiada ritual pelik-pelik sehingga berasap ICU. Dukun pun membaca-baca jampi serapah sambil mengelap kepala pesakit dengan air.
Keesokan harinya, pesakit sudah benar-benar stabil dan dibenarkan pindah ke wad biasa. 3 hari kemudian sudah boleh keluar dari hospital.
Kemudiannya diceritakan kepada orang kampung sekalian termasuklah di facebook, twitter dan instragram.
“Alhamdulillah, berkat berubat dengan Ustaz X (dukun tadi), ayah saya terselamat daripada jangkitan makhluk halus. Kalau nak dapatkan khidmat beliau, pm saya.”
Doktor dan jururawat tiada peranan langsung dalam mengubati penyakit ayahnya.
Dan seperti biasa, kencing manis yang dihidapinya, yang menjadi penyebab kepada mudahnya jangkitan ‘makhluk halus’, terus dibawa berubat dengan dukun kesayangannya.
Dan kitaran ini berulang dan berulang dan berulang lagi…