Ketahui Punca-Punca Wanita Stress Dan Cara Pencegahannya
Sebagai lelaki sejati, kita wajib tahu punca pasangan kita mengalami tekanan dan kaedah mencegahnya. Tekanan berpunca dari pelbagai masalah seperti kewangan, bebanan tugas di tempat kerja dan konflik rumah tangga.
Pengawai Psikologi Universiti Putra Malaysia (UPM) Rafidah Sadaruddin, berkata bebanan yang dihadapi wanita turut menyumbang kepada masalah lain, termasuk bosan, hilang minat dan semangat untuk meneruskan kehidupan.
Katanya, setiap manusia mempunyai lima keinginan dan keperluan asas untuk hidup iaitu keberlangsungan kasih sayang, kuasa dan pencapaian, kebebasan dan keseronokan.
Setiap individu mempunyai kebebasan, kebolehan membuat pilihan dan bertanggungjawab dengan pilihan yang dilakukan oleh mereka.
Bagaimanapun, jika diteliti banyak faktor menyebabkan wanita menghadapi tekanan, antaranya sikap pasangan, bebanan kerja, karenah anak, keadaan sekeliling sama ada di pejabat atau pun di rumah.
Walaubagaimanapun, wanita bekerjaya mempunyai cabaran yang tersendiri dalam menguruskan aktiviti harian mereka. Dalam kesibukan mereka dalam menjalankan tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan kerjaya harus di seimbangkan sebaik mungkin.
Pengurusan Masa
Pengurusan masa yang betul dan seimbang antara kerjaya dan keluarga sangat dititkberatkan kepada golongan wanita yang bekerjaya. Bagi golongan wanita yang bekerjaya dan masa yang sama bekerluarga, masa mereka terasa amat singkat. Disebabkan itu, masa mereka harus disusun dengan efektif bagi mengelakkan pembaziran masa berlaku.
Sebaik-baiknya buatkan satu jadual kerja untuk kegunaan sendiri. Dengan adanya jadual kerja, masa yang digunakan akan lebih tersusun rapi dan dapat mengurangkan pembaziran masa. Bekerja hanya di tempat kerja. Sebolehnya siapkan tugasan yang diberikan di tempat kerja. Apabila kerja-kerja ini tidak disiapkan di pejabat, masa anda bersama keluarga akan terjejas dan berkurangan.
Luangkan masa untuk bersama keluarga. Melakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama keluarga supaya bebanan difikiran anda dapat dikurangkan. Bukan sahaja dapat menjadikan kita ceria, malah dalam masa-masa sebeginilah kita akan lebih memahami anak-anak kita.
Pengurusan Emosi
Emosi menunjukkan perasaan kita pada masa-masa tersebut sama ada gembira, sedih, malu, marah dan sebagainya. Emosi yang sentiasa terkawal dapat menjadikan hari-hari anda lebih ceria dan aktiviti yang dilakukan juga dapat dihadapi dengan tenang.
Tanamkan sikap realistik dalam diri kita setiap masa agar diri tidak rasa terbeban dengan matlamat yang ingin dicapai. Sekiranya kita terlalu memikirkan cara untuk mencapai satu-satu matlamat yang tidak mampu kita capai, ia hanya akan memberikan satu tekanan yang besar kepada anda sendiri.
Sekiranya anda mengalami sebarang masalah semasa ditempat kerja, jangan sesekali membawa balik masalah itu ke rumah. Sekiranya masalah itu dicampur adukkan dirumah dan tempat kerja, hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Sokongan Dari Pasangan
Sokongan dari pasangan atau kawan-kawan rapat sangat diperlukan oleh seseorang individu apabila mengalami masalah. Sokongan yang diberikan dengan betul dapat menjadikan seseorang itu lebih tenang dan dapat berfikir secara rasional dalam setiap tingkah lakunya.
Golongan wanita lebih kerap mengalami tekanan berbanding lelaki kerana mereka yang bekerjaya harus memikirkan tentnag kerja di pejabat dan juga kerja di rumah. Sokongan yang berterusan dari suami, ahli keluarga, ayah dan ibu sangat diperlukan setiap masa.
Tonton video dibawah berkaitan dengan stress: