Fenomena TANAH RUNTUH: Faktor, Kesan & Langkah Mengatasi – Daily Rakyat

Fenomena TANAH RUNTUH: Faktor, Kesan & Langkah Mengatasi


Secara amnya, fenomena tanah runtuh sering dikaitkan dengan kesan negatif yang bukan sahaja membawa kerugian tetapi juga membawa kematian. Tanah runtuh merupakan salah satu fenomena geologi melibatkan gelongsoran atau pergerakan tanah dari satu kedudukan yang tidak stabil. Dan ianya berlaku secara pantas atau perlahan disebabkan oleh tarikan graviti.

Kejadian tanah runtuh ini merupakan antara fenomena bencana alam yang kerap berlaku pada masa kini di Malaysia. Dan ramai di kalangan kita, sudah sedia maklum akan perkara ini.

Faktor Kejadian Tanah Runtuh

Faktor kejadian tanah runtuh sering berlaku sama ada secara semulajadi atau akibat aktiviti manusia. Terdapat beberapa faktor utama yang menjadi penyumbang kepada fenomena tanah runtuh.

1. Penyahutanan

Penebangan hutan secara besar-besaran untuk tujuan pembangunan dan sebagainya menyebabkan banyak pokok dan tumbuhan musnah. Ia juga menyebabkan tanah terdedah kepada agen hakisan.

Selain itu, aktiviti pembalakan menyebabkan tumbuh-tumbuhan tidak dapat menjalankan fungsi sebagai pengukuh struktur tanah. Secara amnya, akar tumbuh-tumbuhan berfungsi sebagai pencengkam yang menggenggam tanah untuk mengukuhkan struktur tanah. Penebangan hutan juga menyebabkan struktur tanah menjadi longgar dan menjadi punca kepada fenomena tanah runtuh. Hal ini berlaku kerana, disebabkan tiadanya pelindung atau tanaman penutup bumi.

2. Fenomena Alam

Komposisi dan kandungan mineral yang terkandung dalam sesuatu tanah turut mempengaruhi struktur tanah. Sekiranya tanah itu terdiri daripada mineral batu kapur, maka tanah itu akan mudah bertindakbalas dengan air. Tindakbalas ini menyebabkan tanah menjadi rapuh dan senang runtuh, mempunyai struktur tanah yang longgar, dan menjurus kepada kejadian tanah runtuh. Struktur tanah yang mempunyai kadar resapan rendah juga berisiko tinggi mengalami tanah runtuh.

Di samping itu, faktor hujan secara semulajadi turut mempengaruhi punca berlaku kejadian tanah runtuh. Kadar serapan air hujan yang tinggi akan menyebabkan kandungan aliran air dalam tanah menjadi banyak. Tanah akan menjadi longgar kerana wujud larian air dalam tanah. Hal ini menyebabkan tanah menjadi lemah dan mudah runtuh. Pergerakan tanah juga mungkin berlaku di kawasan yang mengandungi kuantiti takungan atau larian air yang banyak.

Kesan Tanah Runtuh

Kejadian tanah runtuh ini banyak mendatangkan kesan buruk kepada manusia seperti kerosakan harta benda, tempat tinggal, dan juga nyawa. Hal ini, membawa kerugian ekonomi kepada sesebuah negara. Selain itu, ia juga turut memberi banyak kesan buruk terhadap alam sekitar.

Antaranya adalah:

1. Perubahan Geomorfologi

Untuk pengetahuan, penimbusan tanah yang banyak ke sesuatu kawasan akan mengubah geomorfologi kawasan tersebut. Dan kerja-kerja pembersihan kawasan tersebut akan mengambil masa yang lama. Jesteru itu, kestabilan cerun runtuh perlu diperbaiki dengan menggunakan teknik penstabilan yang sesuai.

2. Kemusnahan Hutan Tanah Tinggi

Aktiviti pemusnahan hutan oleh manusia menyebabkan berlakunya perubahan ekologi atau ekosistem alam di kawasan tanah tinggi. Di samping itu, ia juga telah memusnahkan kawasan tadahan air, mewujudkan pencemaran dan mengurangkan kualiti air bersih.

3. Banjir Lumpur

Ketiadaan pokok-pokok yang menyerap air menyebabkan aliran air secara langsung di permukaan tanah dan mengakibatkan banjir kilat. Kesannya juga akan mengancam nyawa dan harta benda akibat daripada daya aliran tanah atau lumpur.

Langkah Mengatasi

Oleh itu, langkah yang sesuai haruslah dilaksanakan bagi mengatasi dan mengelakkan masalah kejadian tanah runtuh ini berlaku.

  • Menanam semula pokok-pokok di cerun bukit, terutamanya di kawasan-kawasan yang telah dibangunkan
  • Pelaksanaan langkah strategik di cerun-cerun bukit yang berisiko tinggi mengalami tanah runtuh. Antaranya adalah penyimenan cerun bukit, penggunaan sungkupan plastik, tutupan jaring besi, dan penggunaan sangkar yang berisi batu bagi pengukuhan cerun.
  • Membina sistem perparitan yang terancang
  • Pokok-pokok besar yang berakar dalam dan tanaman tutup bumi juga perlu ditanam untuk menyelamatkan kawasan pembangunan yang terdedah kepada cuaca yang tidak tentu serta hujan lebat.
  • Melaksanakan kesedaran dalam kepentingan penjagaan alam sekitar sama ada di peringkat sekolah atau pengajian tinggi.

Kesimpulan

Tuntasnya, pelbagai usaha haruslah diambil untuk memantau ketidakstabilan cerun dengan penggunaan pelbagai teknologi. Bukan setakat pihak kerajaan sahaja yang memainkan peranan penting. Malah usaha bagi mengatasi kejadian tanah runtuh ini juga sepatutnya dimulakan daripada institusi kekeluargaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Terkini @ Daily Rakyat