KES MONA FANDEY PALING TINGGALKAN KESAN: Zaman Khan, Ketua Pegawai Penjara Berkongsi Kisah Misteri


Seperti yang kita ketahui KES MONA FANDEY ini merupakan kejadian yang pernah menggemparkan negara dengan pembunuhan yang paling kejam pernah berlaku dan telah membawa kepada begitu banyak impak besar kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak di dalam menyelesaikan kes ini.

Ikuti kisah daripada seorang Pegawai Penjara yang telah mengendalikan KES MONA FANDEY ini.

KETIKA dalam perkhidmatan dan mengendalikan pelbagai kes terutama yang berprofil tinggi termasuk kes Mona Fandey, Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan, 76, berdepan pelbagai peristiwa pelik dan misteri.

Namun, yang lebih menarik ialah kisah keris yang tiba-tiba hilang dalam simpanan di laci rumahnya dan kemudian muncul semula di tempat sama, tetapi ada kesan tanah.

Ramai mendakwa, saya ada pakai tangkal ketika menjalankan tugas. Beginilah… ini kali pertama saya bercerita mengenai perkara ini. Dulu, saya ada kenalan seorang Jawa. Suatu hari, dia panggil saya ke rumahnya dan berikan saya sebilah keris kecil, pendek. Sarungnya pula ada ukiran, tapi bukan ayat. Hampir 15 tahun kemudian, saya bertemu seseorang yang berasal dari Indonesia.

Dia memberitahu ada hajat dan tahu, saya pernah menerima (hadiah) keris suatu ketika dulu. Saya terkejut, macam mana dia tahu dan membawa ‘pasangan’ keris yang saya terima dulu. Dia beri saya sebilah keris berbalut kain kuning. Dia kata, keris yang pertama boleh dibawa ke mana-mana jika saya ada hajat. Sebaliknya jika nak pergi tempat berbahaya, boleh bawa keris berbalut kain kuning ini (yang kedua).

“Cuma ada syarat, saya perlu puja keris itu. Tapi saya tidak buat kerana boleh membawa kepada syirik. Saya pun simpan kedua-dua keris itu dalam laci. Sebulan dua kemudian, keris itu hilang, hingga saya berkelahi dengan isteri…saya tanya, siapa ambil ‘barang’ saya? Anak-anak masih kecil,” katanya.

Beberapa bulan kemudian, keris itu ‘kembali’ ke dalam laci, tapi dalam keadaan kotor dengan kesan tanah. Sehingga hari ini saya masih simpan dua bilah keris ini, namun saya tak buat apa-apa kepadanya. Saya takut syirik.

Dah lebih 30 tahun, dua bilah keris itu dalam simpanan saya. Malah, ada yang kata, saya bertapa di tokong Siam menuntut ilmu (hitam), bagi menyelesaikan satu-satu kes jenayah.
Dalam banyak kes yang saya kendali, paling banyak meninggalkan kesan dalam hidup saya ialah kes Mona Fandey hingga terbayang-bayang tengkorak Allahyarham Mazlan (Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Allahyarham Datuk Mohd Mazlan Idris).

MISTERI KEHILANGAN DATO MAZLAN

Misteri kehilangan Mazlan akhirnya terbongkar apabila ditemui mati dibunuh dan mayatnya dikerat di kawasan kebun tanah rancangan FELDA Ulu Dong, kira-kira 45 kilometer dari Raub, Pahang sekitar Julai 1993. Mayat Mazlan dipotong 18 bahagian dan ditanam dalam lubang sedalam 1.8 meter dengan permukaannya disimen.

Akhirnya pasangan bomoh Maznah Ismail atau Mona Fandey, 46, dan suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman, 45, serta pembantu mereka, Juraimi Husin, 32, didapati terbabit dan disabitkan kesalahan membunuh Mazlan pada 9 Februari tahun 1995 di Mahkamah Tinggi Temerloh dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Sejak penangkapan itu, pelbagai cerita timbul termasuklah Mona Fandey dikatakan mengamalkan ilmu hitam di Penjara Wanita Kajang untuk membolehkannya menghilangkan diri. Ketika itu, Zaman pegang jawatan Ketua Pengarah Penjara.

Ketika saya melawat kawasan pembunuhan di Ulu Dong, tiba-tiba urat kaki membengkak dan ada yang kata, saya terlangkah `sesuatu’ di lokasi kejadian. Apabila saya menghadiri mesyuarat pegawai kanan polis di Siberia, saya demam, kaki bengkak lagi. Isteri saya telefon, minta orang kampung buat doa selamat, kononnya kaki saya membengkak gara-gara perbuatan Mona.

Begitu juga dengan bekas pemandu saya, dia selalu sakit, demam. Pergi jumpa doktor, selepas pemeriksaan, tak sakit apa-apa. Lalu, dia berjumpa seorang pakar perubatan tradisional dan diberitahu, kononnya dia juga terlangkah `sesuatu’ di lokasi pembunuhan Mazlan. Dia dikatakan terlangkah satu lubang, di bawahnya pula ada tengkorak seorang pelacur yang dibunuh, tulangnya diambil Mona untuk tujuan pemujaan.

Saya akhirnya perlu menjalani pembedahan, tak tahan, sakit sangat kaki saya. Akhirnya selepas pemeriksaan lanjut, rupa-rupanya kaki yang bengkak tu ada jangkitan kuman, bukannya disihir Mona. Saya juga tidak pakai `pendinding‘ seperti dakwaan sesetengah pihak kononnya ia perlu ketika berdepan Mona dalam menyelesaikan kes pembunuhan Mazlan.

Sebenarnya, apabila kami (polis) menemui kepala arwah Mazlan, saya masih terbayang-bayang, tapi tidaklah sampai terbawa-bawa dalam mimpi. Dulu, banyak kes pembunuhan, mangsa dicampakkan ke dalam sungai, tasik atau lombong. Apabila kita menemui mayat, keadaannya sangat mengerikan. Itu juga membuatkan saya sering terbayang-bayang.

Isteri selalu mengingatkan saya, apabila dia tahu saya pulang ke rumah selepas siasatan kes bunuh… dia mesti suruh saya mandi dulu sebelum jumpa atau pegang anak-anak. Anak-anak pula masih kecil. Bagi saya, petua tu betul.

Satu hari ketika bertugas di Perak dulu dan menghadiri satu perbicaraan, seorang majistret sempat menasihati saya supaya masuk mahkamah ikut pintu belakang. Dia kata, kawasan tangga di depan mahkamah, ada orang sudah jampi untuk `mengenakan’ diri saya. Bagi saya, nasihat yang baik, saya turuti saja.

Bagaimanapun, saya percaya, jika kita tak berdosa, Tuhan tak makbulkan doa untuk menjahanamkan orang lain. Bagi saya, dalam menyelesaikan apa kes sekali pun, saya berpegang kepada prinsip supaya kita yakin, berdoa dan tawakal, insya-Allah Tuhan akan mengiringi kejayaan kita.

Saya masih ingat, sebuah van keselamatan disamun di Tapah, Perak. Salah seorang suspek dilihat berada di Kelantan. Dia membawa satu guni putih bersamanya dan dilihat masuk ke sebuah kebun getah. Tapi apabila dia keluar, guni tu dah tak ada. Saya berpendapat, mungkin dia tanam guni itu di dalam kebun getah.

Saya arahkan anggota di Tanah Merah pergi cari guni tu, tapi tak jumpa. Saya tak yakin, mesti ada. Keesokannya saya bersama satu platun masuk kebun getah yang dibahagikan kepada beberapa kawasan atau petak kecil. Setiap anggota ditugaskan mencari di setiap bahagian. Tetapi di tempat saya berdiri dan belum ada orang lain di situ, saya pun minta anggota mencarinya di petak itu.

Cari-cari, buang daun, akhirnya anggota saya menemui tanah yang seperti baru digali. Gali-gali, akhirnya jumpa guni tu yang ditanam bersama duit. Anggota saya melawak… saya dah tahu ada duit di situ, mengapa kerah mereka cari satu kebun? Itu baru satu contoh, kononnya orang kata saya ada ilmu.

Yang kedua, kes Bentong Kali. (pembunuh kejam, perompak serta pengedar dadah paling dikehendaki atau nama sebenarnya Kalimuthu Pakirisamy. Bentong Kali ditembak di Medan Damansara pada tahun 1993). Bentong Kali pergi ke satu kedai kopi di Rawang. Ada pergaduhan pada tengah malam itu dan dua orang mati.

Saya dapat maklumat, kematian itu bukan saja disebabkan tetakan, sebaliknya ada kejadian tembak menembak. Saya tanya anggota polis, ada ke kejadian tembak…mereka kata, tak ada. Tak mengapalah, mungkin ada kesilapan. Saya suruh cari kelongsong peluru, tak jumpa. Akhirnya selepas bedah siasat ada kesan tembakan di kepala mangsa.

Anggota saya takut kena marah, dah tengah malam baru beritahu, memang ada kejadian tembak. Cari-cari kelongsong, tak jumpa. Esoknya saya minta anggota tunggu di tempat kejadian, saya sendiri nak pergi. Kebetulan pagi tu saya akan terbang ke Manila untuk satu persidangan. Saya pun pergi, siap baju kot. Sekali lagi di tempat kejadian, saya minta anggota buat bahagian kecil atau petak, cari kelongsong.

Mereka pun cari, tak jumpa. Sekali lagi, akhirnya tempat saya berdiri, anggota saya jumpa kelongsong. Dah ada dua contoh… mereka kata saya memang dah tahu kelongsong tu berada di mana.

Satu lagi kejadian di sebuah kedai pajak gadai di Kota Tinggi. Berlaku juga kejadian tembak di situ membabitkan seorang anggota yang mati ditembak selepas melakukan siasatan di kedai berkenaan. Ketika itu saya berada mesyuarat di Singapura. Sekali lagi kelongsong peluru tak jumpa. Saya kata mesti ada jika senjata yang digunakan (jenis) automatik. Saya kata cari dulu, jangan cakap tak ada.

Saya minta anggota cari di bawah almari, cari-cari jumpa kelongsong di situ. Sekali lagi anggota saya beritahu, kenapa menyusahkan mereka, sedangkan saya dah tahu di mana kelongsong itu. Jadi, selepas insiden demi insiden, orang kata saya ni ada `membela’, ada hantu. Tak betul! Sebenarnya sebagai pegawai penyiasat, kita perlu tahu fakta kes dan motif. Elemen bernasib baik ini, kecil saja, satu peratus, sebaliknya 99 peratus adalah kerja keras.

 


Biodata Ringkas mengenai TAN Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan:

Nama               : Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan
Tarikh lahir  : 18 Jun 1938
Asal                  : Kampung Serendah, Pasir Mas, Kelantan
Isteri                : Puan Sri Rosnah Ahmad
Anak                : Enam orang
Cucu               : 20 orang
Pendidikan  : Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria Kuala Lumpur
: Kolej Sultan Ismail Kota Bharu
: Kursus Khas Polis di Washington DC & Fort Bragg (1968)
: Royal College Of Defense Studies, London (1988)
: Commercial Crime & Money Laundering, University Of Cambridge (1990)

Kerjaya:

– Menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia sebagai Kadet ASP (Jun tahun 1962)
– Ketua Polis Daerah Batu Gajah; Grik; Klang dan Georgetown (1964-1972)
– Ketua Trafik Kuala Lumpur (1972-1973)
– Ketua Polis Daerah Petaling Jaya (1973)
– Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor (1975-1978)
– Ketua Polis Negeri Sembilan (1978-1980)
– Ketua Polis Pulau Pinang (1981-1983)
– Ketua Polis Kuala Lumpur (1983-Julai 1986)
– Pengarah Keselamatan Dalaman dan Ketenteraman Awam Bukit Aman (Ogos 1986-1989)
– Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (1989-1993)
– Ketua Pengarah Jabatan Penjara (1994-1997)

Kes pernah dikendalikan:

– Penawanan Menara AIA oleh Tentera Merah Jepun pada tahun 1975
– Penangkapan ketua perompak, Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai Botak Chin yang akhirnya mati di tali gantung Penjara Pudu (1976)
– Rompakan di Bank of Tokyo membabitkan kumpulan Geng M-16 (1985)
– Doktor dan juruteknik makmal dijadikan tebusan oleh banduan di Penjara Pudu (1986)
– Pembunuhan kejam, perompak dan pengedar dadah paling dikehendaki, Kalimuthu Pakirisamy atau Bentong Kali, ditembak mati di Medan Damansara (1993)
Pembunuhan ADUN Batu Talam, Pahang, Datuk Mohd Mazlan Idris oleh pasangan bomoh Mona Fandey, suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantu, Juraimi Husin (1993)
– Ketika masih memegang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, nama Zaman Khan mengetuai misi penyiasatan kes tragedi runtuhan kondominium Highlands Tower di Taman Hillview, Hulu Klang pada 11 Disember 1993 apabila dia antara pegawai kanan polis paling awal tiba di lokasi kejadian.

 

Perincian dan penerangan kes Mona Fendi Di B.File (Sebuah Program yang memaparkan kes-kes jenayah lampau dan bencana yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu.):

 

Satu komen untuk “KES MONA FANDEY PALING TINGGALKAN KESAN: Zaman Khan, Ketua Pegawai Penjara Berkongsi Kisah Misteri”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat